MALAYSIA

Usaha Malaysia dalam pembangunan tenaga kerja serantau diiktiraf ALMM - KESUMA

Bernama 11/06/2025 | 15:34 MYT
Sim (gambar) berkata pembangunan modal insan kekal sebagai teras visi ASEAN untuk kemajuan serta ketahanan bersama. - Foto Kesuma
PUTRAJAYA: Malaysia menerima pengiktirafan dan maklum balas positif berhubung inisiatif pembangunan modal insan serta kerjasama tenaga kerja serantau sewaktu Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) yang diadakan bersempena Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva.

Mesyuarat yang dihoskan Menteri Sumber Manusia Steven Sim itu antara lain menghimpunkan Menteri-Menteri Buruh ASEAN dan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Gilbert F. Houngbo bagi sesi dialog tidak rasmi untuk memperkukuh kerjasama serantau.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sim pada mesyuarat itu menekankan komitmen jangka panjang ASEAN terhadap kerjasama serantau menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 serta mengetengahkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 (AYOS 2025) yang diterajui Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Sim berkata pembangunan modal insan kekal sebagai teras visi ASEAN untuk kemajuan serta ketahanan bersama dan ia dapat dilihat melalui inisiatif konkrit seperti Grid Tenaga ASEAN, Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan dan Gerbang Pembayaran Digital ASEAN yang memperdalam integrasi serantau.

KESUMA memaklumkan Menteri Tenaga Manusia Singapura merangkap Pengerusi ALMM Dr Tan See Leng turut menghargai peranan Malaysia dalam memacu inisiatif serantau, terutamanya dalam merangka Pelan Tindakan Pekerjaan Hijau serta memimpin AYOS 2025.

Dr Tan turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia dalam memacu pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai Promosi Pekerjaan Hijau.

Sementara itu, Houngbo pula memuji kepimpinan Malaysia dalam pembangunan kemahiran, terutamanya dalam menghadapi cabaran global seperti transformasi teknologi dan menyokong penuh AYOS 2025.

-- BERNAMA





#tenaga kerja serantau #ALMM #Steven Sim #KESUMA