Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Usaha Malaysia meterai Perjanjian 123 tunjuk komitmen terhadap perkongsian nuklear selamat - Duta AS

Bernama 10/08/2025 | 09:31 MYT
Kagan melihat pengumuman itu merupakan langkah positif ke arah memeterai kerjasama nuklear secara aman melalui rangka kerja perundangan yang diperlukan di bawah undang-undang AS. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia untuk memperkukuh kerjasama nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian 123 mencerminkan pengiktirafannya terhadap kepentingan bekerjasama dengan rakan kongsi yang mengutamakan keselamatan dan teknologi termaju, kata Duta AS ke Malaysia Edgard D. Kagan.


Ringkasan AI
  • Malaysia-AS Tandatangan MoU Nuklear Awam: Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Julai untuk memulakan rundingan Perjanjian 123 bagi kerjasama nuklear secara aman.
  • Perjanjian 123: Rangka Kerja Perundangan Nuklear: Perjanjian ini diperlukan di bawah undang-undang AS sebelum pemindahan teknologi nuklear boleh berlaku, dan mesti melalui proses rundingan serta ratifikasi bagi menjamin keselamatan dan kawalan senjata.
  • Malaysia Tentukan Kadar Kemajuan: Duta AS menyatakan bahawa kemajuan perjanjian bergantung sepenuhnya kepada perancangan tenaga Malaysia, dengan AS bersedia bekerjasama mengikut keputusan dan keperluan negara.


Kagan berkata perkembangan itu, yang diumumkan semasa lawatan Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Kuala Lumpur pada Julai, merupakan langkah positif ke arah memeterai kerjasama nuklear secara aman melalui rangka kerja perundangan yang diperlukan di bawah undang-undang AS.

Malaysia dan AS, masing-masing diwakili oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Rubio, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama nuklear awam pada 10 Julai.

Semasa majlis penandatanganan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, Mohamad berkata Malaysia bersedia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian 123.

"Ia adalah satu langkah yang sangat positif yang menunjukkan pengiktirafan Malaysia bahawa teknologi AS kekal canggih, dan apabila menyentuh tentang nuklear, usaha untuk mempunyai rakan kongsi yang boleh dipercayai serta mempunyai komitmen terhadap keselamatan adalah sangat penting.

"Ia adalah langkah yang sangat signifikan. Kami berpendapat Malaysia adalah rakan kongsi yang baik, dan selepas ini kita perlu berunding. Ia juga perlu disahkan," kata Kagan kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Perjanjian 123, yang dinamakan sempena Seksyen 123 Akta Tenaga Atom AS, ialah rangka kerja perundangan penting yang diperlukan oleh AS sebelum sebarang pemindahan bahan, teknologi atau peralatan nuklear untuk tujuan aman dapat dilaksanakan.

Perjanjian itu mesti melalui proses rundingan dan ratifikasi bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan pengawalan senjata nuklear antarabangsa.

Mengenai sama ada satu garis masa telah ditetapkan untuk memuktamadkan perjanjian itu, Kagan berkata langkah seterusnya akan bergantung sepenuhnya kepada perancangan tenaga dalaman Malaysia.

"Malaysia perlu membuat keputusan sendiri mengenai kadar kemajuan yang ingin diambilnya," tambah beliau:

"Kami percaya adalah demi kepentingan kedua-dua negara untuk mempunyai Perjanjian 123. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia, tetapi pada akhirnya, ini akan dilakukan mengikut kadar yang ditetapkan Malaysia dan selaras dengan keputusan Malaysia mengenai apa yang diinginkannya bagi campuran tenaganya," katanya.

-- BERNAMA







#perjanjian 123 #kerjasama nuklear dengan Amerika Syarikat #Edgard D Kagan #Mohamad Hasan