APA yang dilihat sebagai perkembangan positif menolak keputusan kontroversial kerajaan Pakatan Harapan untuk menutup Mara Corporation (MARACorp) - syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat, hanyalah bersifat sementara apabila khidmat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Badlisyah Abdul Ghani yang baharu sahaja dilantik telah digantung.

Nasib dan hala tuju agenda Bumiputera terus dikotak-katik, dengan ahli politik mengambil alih jawatan eksekutif teratas di MARACorp.

Datuk Badlisyah telah dilantik memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sejak tiga bulan lalu.

Kelayakan beliau tidak perlu dipersoalkan, termasuk khidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tabung Haji dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Islamic.

Dalam jangka masa yang pendek, beliau memulakan pelan transformasi dan melantik pihak pengurusan profesional terdiri daripada Bumiputera yang berpengalaman, serta memulakan audit dalaman bagi syarikat serta anak syarikat MARACorp.

Namun, usaha beliau untuk mentransformasi MARACorp telah terhenti dengan tiba-tiba setelah beliau diminta ‘mengambil cuti’ oleh Lembaga Pengarah MARACorp sementara ‘menunggu siasatan’ atas perkara yang tidak disenaraikan.

Lembaga Pengarah MARACorp terdiri daripada penjawat awam kanan, ahli perniagaan dan ahli politik.

Menariknya keputusan penggantungan yang diambil terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan telah didorong oleh lantikan-lantikan politik, iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Seri Megat Shahriman.

Pencarian Google kedua-dua personaliti ini menimbulkan persoalan tentang keputusan melantik mereka ke dalam syarikat yang diamanahkan melindungi dan memajukan agenda ekonomi Bumiputera.

Megat Shahriman sendiri baru-baru ini digantung daripada Konfederasi Hoki Malaysia selama 18 bulan setelah melanggar tatakelakuan konfederasi.

Manakala, Datuk Suhaili, bekas Ahli Parlimen UMNO Labuan, kini menjadi pemimpin bahagian dan anggota majlis eksekutif Bersatu pernah dilanda kontroversi serta menjadi berita negatif dan tajuk utama surat khabar.

Beliau pernah diisytiharkan muflis sebelum tahun 2013 dan juga pernah mengaku bersalah di mahkamah kerana tindakan menipu bank serta membuat penyataan palsu.

Yang menjadi suatu tanda-tanya – apabila menteri Bersatu yang dipertanggungjawab ke atas MARA telah bersetuju untuk melantik seorang ahli politik aktif yang pernah dilanda kontroversi, Datuk Suhaili Abdul Rahman sebagai Pengarah Eksekutif MARACorp dan Pengerusi ‘Lembaga Exco’ sebaik sahaja Datuk Badlisyah digantung tugasannya.

Mengapa harus terburu-buru? Bukankah situasi ini seolah-olah meletakkan 'musang untuk menjaga reban ayam'?

Untuk memahami situasi perkembangan MARACorp ini, latar belakang syarikat serta anak syarikatnya perlu dikaji dengan teliti.

MARACorp dikonseptualisasikan pada tahun 2014 untuk memastikan aset komersial dan anak syarikat Mara dikendalikan oleh warga profesional.

Walau bagaimanapun, aset dan anak syarikat hanya dipindahkan enam tahun kemudian, diikuti percubaan untuk menutup MARACorp dengan serta-merta agar kawalan kepada aset berkenaan kembali kepada MARA.

Berikutan tindakan ini, pasukan profesional yang terdahulu telah mengundur diri pada awal 2019.

Anak syarikat paling terkenal yang dipindahkan ke MARACorp ialah MARA Inc. Reputasi syarikat ini  diselubungi skandal hartanah di Melbourne. Tidak mustahil  lebih banyak skandal yang bakal timbul dan terbongkar.

Ahli Majlis Mara sebelum ini, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan telah disingkir terutamanya kerana telah mengetepikan Akta Mara serta keputusan mereka untuk menutup MARACorp.

Namun, salah seorang bekas anggota Majlis yang dipecat ini telah dilantik semula oleh menteri Bersatu dan beliau terus juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Mara.

Nampaknya berkemungkinan ada pihak yang berusaha untuk melindungi ‘kepentingan’ masing-masing.

Kerajaan PN yang mempunyai ruang memperbaiki kesilapan kerajaan sebelum ini nampaknya memberi mandat kepada personaliti yang meragukan.

Mengapa pihak-pihak ini diberi mandat untuk mengganti golongan profesional berpengalaman serta merupakan pemimpin dalam bidang masing-masing, yang direkrut khusus untuk mentransformasi MARACorp?

Dengan persaingan dan perbezaan di antara UMNO dan Bersatu, sekurang-kurangnya UMNO tidak pernah mengambil tindakan meletakkan ahli politik aktif untuk memegang peranan eksekutif dalam GLC / GLIC.

Apatah lagi personaliti berkenaan mempunyai rekod integriti serta kejujuran yang wajar dipersoalkan.

Lebih merisaukan lagi ialah apabila personaliti sedemikian ditempatkan di dalam sebuah organisasi yang ditubuh untuk memajukan Agenda Ekonomi Bumiputera.



* Penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Shaun memerhati dengan dekat perkembangan melibatkan agensi yang diamanahkan melindungi dan memajukan agenda ekonomi Bumiputera, Mara.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.