NATIONAL
Usaha pulihara dugong dilaksana menyeluruh, elak kepupusan - DoF

Dugong dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang Malaysia dan disenaraikan sebagai spesies Hampir Pupus oleh IUCN. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DoF) kini melaksanakan usaha pemuliharaan dugong secara menyeluruh merangkumi perlindungan habitat kritikal, pemantauan populasi serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.
Ringkasan AI
- Jabatan Perikanan (DoF) melaksanakan usaha menyeluruh untuk memulihara dugong, termasuk perlindungan habitat, pemantauan populasi, dan kerjasama dengan komuniti serta pihak berkepentingan.
- Dugong dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang Malaysia dan disenaraikan sebagai spesies -Hampir Pupus- oleh IUCN; pewartaan Santuari Dugong seluas 150,000 hektar di Johor sedang dirancang.
- DoF turut menjalankan pemetaan rumput laut dan penilaian stok karbon bersama Yayasan PETRONAS, memandangkan rumput laut penting untuk kelangsungan hidup dugong dan mitigasi perubahan iklim.
Dugong merupakan satu-satunya spesies yang masih wujud dalam famili Dugongidae dan dilindungi sepenuhnya di bawah perundangan Malaysia termasuk Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) (Pindaan) 2019 serta undang-undang hidupan liar di Sabah dan Sarawak.
Spesies itu disenaraikan dalam Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES), dan dikategorikan sebagai "Hampir Pupus" oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), menjadikan usaha konservasi sebagai satu keperluan mendesak.
DoF memaklumkan antara usaha pemuliharaan terkini yang dilaksanakan ialah cadangan pewartaan Santuari Dugong di Johor melibatkan kawasan seluas 150,000 hektar.
"Pewartaan ini dijangka memperkukuh perlindungan habitat kritikal serta menyokong penyelidikan dan pemantauan jangka panjang," menurut kenyataan itu.
DoF memaklumkan populasi dugong di Malaysia tertumpu di beberapa kawasan seperti perairan Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Besar di Johor, serta di Sabah dan Sarawak.
"Habitat utama dugong adalah kawasan rumput laut cetek, yang turut menjadi ekosistem penting bagi pelbagai spesies marin lain seperti kuda laut, gamat dan ikan juvenil, namun kawasan ini semakin terancam akibat pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak lestari," menurut kenyataan itu.
Menurut DoF, pihaknya dengan kerjasama Yayasan PETRONAS sedang melaksanakan pemetaan taburan rumput laut di seluruh negara termasuk penilaian stok karbon habitat berkenaan.
"Rumput laut bukan sahaja penting sebagai sumber makanan utama dugong, tetapi juga memainkan peranan dalam mitigasi perubahan iklim melalui keupayaan penyerapan karbon," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami