Usahawan, koperasi terkesan akibat pandemik disasar carum Perkeso - Noh Omar

Bernama
Oktober 1, 2021 12:58 MYT
Noh menyampaikan kerusi roda kepada penerima faedah Perkeso K Malayappan sempena Ulangtahun Jubli Emas Ke-50 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Tanjong Karang hari ini. - Foto BERNAMA
TANJONG KARANG: Lebih 190,000 usahawan dan koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 disasar untuk mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata sasaran tersebut merupakan kerjasama yang akan dijalankan oleh MEDAC dengan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu dalam masa terdekat supaya usahawan dan koperasi yang mendapat pembiayaan bawah kementerian berkenaan dilindungi.
Noh berkata kerjasama tersebut akan dimulakan di Parlimen Tanjong Karang sebagai projek rintis, sehingga kini lebih 300 usahawan MEDAC dijangka akan mendaftar dan mencarum di bawah Perkeso.
"Melalui kerjasama ini kita akan meminta peminjam-peminjam sedia ada khususnya golongan B40 mendapat pinjaman daripada agensi-agensi MEDAC termasuk peniaga kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-50 tahun Perkeso di sini hari ini.
Noh berkata MEDAC akan mencadangkan supaya sesiapa yang dapat pinjaman untuk terus mencarum dengan Perkeso, ia tidak wajibkan kepada para peminjam namun MEDAC akan melakukan kempen kesedaran mengenai faedah mencarum terutamanya bagi golongan yang bekerja sendiri.
-- BERNAMA
#perkeso #Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi #Noh Omar #Medac