NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membangunkan sebuah aplikasi yang dapat mencegah penipuan melibatkan penggunaan ijazah palsu.

Aplikasi mudah alih dinamakan Tasdiq Al-Syahadah (TAS) itu berasaskan teknologi 'blockchain' yang boleh mengesan ketulenan skrol graduan dikeluarkan USIM.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, keistimewaan aplikasi tersebut adalah pada kos pembangunan yang jauh lebih rendah serta dibangunkan melalui kepakaran dalamannya sendiri.

"Ia diterajui oleh Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM dengan kerjasama iExploTech dan Sekretariat Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) DLT Network.

"Tindakan proaktif USIM membangunkan aplikasi ini dalam usaha mencegah penipuan ijazah palsu, sekali gus menjaga reputasi dan integriti sijil akademik universiti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, USIM bekerjasama dengan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) dalam menjalani proses penilaian yang dianggotai oleh pakar-pakar keselamatan siber universiti awam dan swasta, selain turut dinilai oleh wakil pakar keselamatan Cyber Security Bristol, United Kingdom.

Jelas beliau, sesuai dengan Akta Perlindungan Data Peribadi, semakan maklumat skrol digital hanya boleh dibuat ke atas graduan yang telah memberi kebenaran kepada aplikasi TAS USIM bagi tujuan perkongsian maklumat.

"Bagi menjamin ketulenan dan keselamatan aplikasi TAS USIM ini, pihak USIM menggunakan perkhidmatan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma) yang disediakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

"Ia mampu menempatkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh mana-mana agensi kerajaan secara berpusat sebelum dimuat naik di Google Play Store," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr Hammad Farhi Mohd Saudi berkata, bakal majikan atau pihak berkepentingan boleh memuat turun aplikasi TAS USIM di Google Play Store mulai Selasa.

"Bagi pengguna selain android, versi web TAS USIM berasaskan 'blockchain' sedang dibangunkan dan dijangka akan dapat dicapai sebelum penghujung tahun ini," ujar beliau.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.