MALAYSIA
USIM pimpin wacana serantau melalui ASEAN Classroom 2025

Kemuncak program ialah ACLS yang berlangsung pada 25 Ogos di Dewan Senat USIM, dengan penyertaan lebih 75 peserta dari enam negara. - Foto ILU USIM
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya di peringkat serantau apabila menganjurkan program ASEAN Classroom 2025 (ACL) dari 24 Ogos hingga 6 September lalu di Kuala Lumpur, Melaka dan Terengganu.
Ringkasan AI
- Program ASEAN Classroom 2025 berlangsung dari 24 Ogos hingga 6 September di tiga negeri, menghimpunkan peserta dari enam negara.
- ACL merangkumi rundingan undang-undang antarabangsa, persidangan akademik dan lawatan ilmiah, dengan penyertaan institusi seperti MGIMO dan UMT.
- Lebih 100 peserta sertai program edisi kesembilan bertemakan "ASEAN and Law", mengukuhkan kedudukan USIM sebagai peneraju wacana undang-undang ASEAN.
ACL menghimpunkan 18 peserta dari Malaysia, Rusia dan Indonesia termasuk delegasi dari Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), sebuah institusi diplomasi terkemuka Rusia.
Program ini diselaraskan oleh Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli yang pernah menjadi sarjana pelawat di MGIMO pada 2024.

Kuala Lumpur menjadi antara destinasi bagi ACL 2025. - Foto ILU USIM
Kemuncak program ialah ACLS yang berlangsung pada 25 Ogos di Dewan Senat USIM, dengan penyertaan lebih 75 peserta dari enam negara.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor dan ditutup oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani.
Turut hadir ialah delegasi Forum Dekan Fakulti Hukum Perguruan Tinggi Muhammadiyah se-Indonesia (FORDEK) dari Aceh hingga Papua, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Bukit Aman serta wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Antara tokoh akademik yang berkongsi pandangan termasuk Prof Vivian Forbes dari University of Western Australia, Prof Rahmat Mohamad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Aan Eko Widiarto dari Universitas Brawijaya, Dr Ben Barton dari University of Nottingham Malaysia dan Dr Faisal dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).

ACL 2025 menggabungkan aktiviti perundingan undang-undang antarabangsa, edu-pelancongan dan persidangan akademik yang menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar rantau ASEAN. - Foto ILU USIM
Sementara itu, ACL+ yang berlangsung di Kuala Terengganu, Pulau Redang dan Pulau Tenggol dari 31 Ogos hingga 6 September disertai 12 peserta dari Malaysia, Brunei dan Indonesia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui penyelarasnya, Dr Izyan Munirah Zaideen.
Secara keseluruhan, lebih 100 peserta dari enam negara menyertai ACL 2025, sekali gus mengangkat USIM sebagai peneraju wacana undang-undang serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami