MALAYSIA

USIM pimpin wacana serantau melalui ASEAN Classroom 2025

Astro Awani 16/09/2025 | 04:40 MYT
Kemuncak program ialah ACLS yang berlangsung pada 25 Ogos di Dewan Senat USIM, dengan penyertaan lebih 75 peserta dari enam negara. - Foto ILU USIM
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya di peringkat serantau apabila menganjurkan program ASEAN Classroom 2025 (ACL) dari 24 Ogos hingga 6 September lalu di Kuala Lumpur, Melaka dan Terengganu.


Ringkasan AI
  • Program ASEAN Classroom 2025 berlangsung dari 24 Ogos hingga 6 September di tiga negeri, menghimpunkan peserta dari enam negara.
  • ACL merangkumi rundingan undang-undang antarabangsa, persidangan akademik dan lawatan ilmiah, dengan penyertaan institusi seperti MGIMO dan UMT.
  • Lebih 100 peserta sertai program edisi kesembilan bertemakan "ASEAN and Law", mengukuhkan kedudukan USIM sebagai peneraju wacana undang-undang ASEAN.


Program anjuran International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM itu merupakan gabungan aktiviti perundingan undang-undang antarabangsa, edu-pelancongan dan persidangan akademik yang menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar rantau ASEAN.

Memasuki edisi kesembilan, ACL kali ini bertemakan “ASEAN and Law” bersempena kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan tiga komponen utama iaitu ASEAN Classroom (ACL), ASEAN Conference of Law Schools (ACLS) dan ASEAN Classroom Plus (ACL+).

ACL menghimpunkan 18 peserta dari Malaysia, Rusia dan Indonesia termasuk delegasi dari Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), sebuah institusi diplomasi terkemuka Rusia.

Program ini diselaraskan oleh Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli yang pernah menjadi sarjana pelawat di MGIMO pada 2024.

Kuala Lumpur menjadi antara destinasi bagi ACL 2025. - Foto ILU USIM


Kemuncak program ialah ACLS yang berlangsung pada 25 Ogos di Dewan Senat USIM, dengan penyertaan lebih 75 peserta dari enam negara.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor dan ditutup oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani.

Turut hadir ialah delegasi Forum Dekan Fakulti Hukum Perguruan Tinggi Muhammadiyah se-Indonesia (FORDEK) dari Aceh hingga Papua, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Bukit Aman serta wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Antara tokoh akademik yang berkongsi pandangan termasuk Prof Vivian Forbes dari University of Western Australia, Prof Rahmat Mohamad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Aan Eko Widiarto dari Universitas Brawijaya, Dr Ben Barton dari University of Nottingham Malaysia dan Dr Faisal dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).

ACL 2025 menggabungkan aktiviti perundingan undang-undang antarabangsa, edu-pelancongan dan persidangan akademik yang menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar rantau ASEAN. - Foto ILU USIM


Sementara itu, ACL+ yang berlangsung di Kuala Terengganu, Pulau Redang dan Pulau Tenggol dari 31 Ogos hingga 6 September disertai 12 peserta dari Malaysia, Brunei dan Indonesia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui penyelarasnya, Dr Izyan Munirah Zaideen.

Secara keseluruhan, lebih 100 peserta dari enam negara menyertai ACL 2025, sekali gus mengangkat USIM sebagai peneraju wacana undang-undang serantau.




#ASEAN Classroom #USIM #undang-undang serantau