NATIONAL
USM perkasa industri madu kelulut menerusi kajian klinikal dan kerjasama strategik
Pendekatan penternakan madu kelulut jauh berbeza berbanding madu hutan yang diperoleh melalui kaedah pemburuan, yang menyukarkan pengguna mendapatkan akses kepada produk berkenaan. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri madu kelulut negara, dengan mengetengahkan keberkesanan serta khasiat produk itu menerusi pelbagai kajian klinikal, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna dan penternak terhadap madu tempatan.
Penyelidik Madu Kelulut USM, Dr Mohd Zulkifli Mustafa berkata, antara cabaran utama industri itu adalah persepsi negatif pengguna yang menganggap madu di pasaran sebagai tiruan atau dicampur bahan lain, sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap produk berasaskan madu.
"USM melihat keperluan untuk membantu pengusaha menjelaskan kepada masyarakat tentang kelebihan madu kelulut yang terbukti secara saintifik melalui 17 kajian klinikal, termasuk dalam bidang antidepresan, resdung dan strok.
"Kami turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kepada peternak serta memberi bimbingan bagi meningkatkan kualiti produk dan tahap keyakinan pengguna," katanya kepada pemberita sempena sambutan Hari Lebah Sedunia 2025 di Pusat Translasi Advance National Honey Landmark, Kampus Kesihatan USM, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, USM turut menjalinkan kerjasama erat dengan Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Darul Naim (DRONESS), yang menghimpunkan lebih 165 peternak dengan 5,500 sarang lebah kelulut di seluruh Kelantan sejak 2012.
Mohd Zulkifli berkata, pendekatan penternakan madu kelulut jauh berbeza berbanding madu hutan yang diperoleh melalui kaedah pemburuan, yang menyukarkan pengguna mendapatkan akses kepada produk berkenaan.
"Penternak kini boleh menuai madu kelulut dan menghantar sampel ke USM untuk proses pemurnian dan ujian kualiti. Kami juga menggalakkan mereka membangunkan jenama sendiri agar produk yang dihasilkan lebih bernilai berbanding menjual secara borong," katanya.
Beliau berkata, setakat ini 4,000 peternak di seluruh negara menunjukkan komitmen dalam menghasilkan madu kelulut berkualiti tinggi, hasil bimbingan dan sokongan pelbagai pihak termasuk universiti serta agensi berkaitan.
Pada masa sama, beliau turut menyeru pengguna agar mendapatkan madu asli terus daripada peternak sah yang kini mudah diakses di seluruh negara bagi membanteras penjualan madu tiruan.
"Kami yakin pengguna akan mendapat manfaat terbaik daripada khasiat madu kelulut asli dan usaha ini mampu memperkukuh lagi industri madu tempatan," katanya.
-- BERNAMA