MALAYSIA

Ustaz madrasah digantung tugas selepas insiden pukul pelajar dengan topi keledar - JHEAINS

Sinar Harian 18/12/2025 | 05:10 MYT
Jumain (foto) berkata pihaknya telah melawat lokasi kejadian dan mengambil laporan penuh berhubung insiden berkenaan. -Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seorang tenaga pengajar sebuah pusat madrasah di sini yang tular di media sosial kerana memukul sekumpulan pelajar menggunakan topi keledar digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.


Ringkasan AI
  • Guru pusat madrasah di Sabah digantung tugas sementara kerana dipercayai memukul pelajar menggunakan topi keledar.
  • Pengarah JHEAINS mengambil tindakan selepas insiden tersebut tular di media sosial; madrasah berdaftar dan guru diberi nasihat serta digantung tugas sementara.
  • Semua pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikembalikan kepada keluarga masing-masing; pihak berkenaan menekankan tindakan terhadap pelajar perlu dilakukan secara berhemah.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata pihaknya telah melawat lokasi kejadian dan mengambil laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, madrasah terbabit merupakan institusi swasta namun berdaftar dengan JHEAINS selepas memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan dalam proses pendaftaran.

"Apabila didapati isu ini tular dan pasukan JHEAINS telah melawat serta mengambil laporan, satu perkara yang kita ambil berat ialah kapasiti guru berkenaan yang telah mengasari pelajar supaya kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang.

"Pertama, guru ini telah kita nasihatkan supaya digantung daripada tugas berkenaan dan ahli lembaga telah memutuskan untuk menggantung tugas guru tersebut buat sementara waktu sehingga siasatan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita mengenai perkembangan kes tersebut semasa sidang akhbar pengumuman keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Ugama dan Sijil Menengah Ugama Tahun 2025 di Wisma MUIS, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes berkenaan.

"Kita menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan. Jadi, kita tunggu bagaimana hasil siasatan polis itu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan pelajar yang terlibat, beliau memaklumkan kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikembalikan kepada keluarga masing-masing.

"Kumpulan pelajar tersebut seramai 13 orang berusia 18 tahun ke atas dan saya dimaklumkan mereka telah mendapat rawatan daripada pihak kesihatan serta telah pun dikembalikan kepada keluarga masing-masing," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap pelajar, khususnya yang melibatkan masalah disiplin, perlu dilakukan secara berhemah.

"Kalau kita mendidik anak-anak ini dan sekiranya ada kesalahan, terutama berkaitan disiplin, ikut tatacara mendidik yang betul tanpa mengasari secara berlebihan.

"Kita tahu pelajar sekarang makin ramai yang nakal, tetapi cara mendidiknya bukan dengan memukul atau menyepak kerana itu semua bukan satu kaedah yang terbaik," nasihatnya. -Sinar Harian







Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tindakan yang diambil terhadap guru yang didakwa memukul pelajar di pusat madrasah?
    A: Guru tersebut digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.
  • Q: Berapakah jumlah pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut dan bagaimanakah keadaan mereka selepas kejadian?
    A: Seramai 13 pelajar berusia 18 tahun ke atas terlibat; mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
  • Q: Apa langkah yang diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berkaitan dengan institusi madrasah yang terlibat?
    A: JHEAINS telah melawat lokasi kejadian, mengambil laporan penuh, dan menegaskan kerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan kes berkenaan.
  • Q: Apakah kriteria yang perlu dipenuhi oleh madrasah untuk berdaftar dengan JHEAINS?
    A: Madrasah terbabit perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan dalam proses pendaftaran dengan JHEAINS.
  • Q: Apakah nasihat yang diberikan oleh pengarah JHEAINS berkenaan pendekatan mendidik pelajar yang terlibat dalam masalah disiplin?
    A: Nasihatnya ialah tindakan terhadap pelajar, terutama berkaitan dengan masalah disiplin, perlu dilakukan secara berhemah tanpa mengasari secara berlebihan.



#ustaz madrasah #pukul pelajar #topi keledar #Jheains #gantung tugas