KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim hari ini membenarkan usul berkenaan kontroversi data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera dibahaskan di Dewan Negara petang ini.

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 17(1) itu dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md Arip.

Ketika membacakan usul tersebut, Muhammad Zahid berkata, isu itu berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan kerana melibatkan data peribadi jutaan rakyat Malaysia.

Selepas mempertimbang usul yang diterima pada Selasa, Rais bersetuju bahawa ia memenuhi tiga syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat 17(3).

"Oleh demikian, dibenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17(3) pada petang ini, 31 Mac 2022, dalam dewan ini (Dewan Negara).

"Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit, dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab 30 minit.

"Tertakluk kepada pertanyaan dan pernyataan daripada Ahli-ahli Yang Berhomat, boleh lah menyertai perbahasan itu mengikut kadar dapat kita berikan pada ketika itu petang ini," katanya.

Muhammad Zahid dalam usulnya menyatakan, usul itu dibuat susulan langkah memilih sebuah syarikat swasta iaitu MySj Sdn Bhd untuk meneruskan pengurusan aplikasi MySejahtera yang mana beberapa individu penting di dalam syarikat swasta itu mempunyai hubungan serta secara langsung dengan syarikat KPISoft Malaysia Sdn Bhd iaitu syarikat yg membangunkan aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka menjawab usul tersebut pada jam 4.30 petang ini.