PIHAK kerajaan perlu memberi pertimbangan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat dengan penutupan semua sektor pekerjaan dan institusi pendidikan dalam negara kita untuk tempoh jangka pendek selama dua atau tiga minggu ataupun maksimum selama sebulan bagi membendung penularan virus COVID-19 dalam negara kita.

Semenjak kebelakangan ini sudah terdapat peningkatan mendadak terhadap jumlah kes jangkitan virus COVID-19 ini dalam negara kita.

Peningkatan kes jangkitan virus COVID-19 ini adalah amat membimbangkan dan ianya tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Virus COVID-19 adalah sejenis virus baharu yang amat bahaya kepada kesihatan manusia serta amat mudah menjangkiti orang ramai.

Apa yang lebih membimbangkan ialah tiadanya ubat khusus yang boleh mengubati mereka yang telah dijangkiti dengan virus ini dengan segera.

Walaupun vaksin virus COVID-19 terbabit telah berjaya ditemui oleh beberapa buah negara maju namun proses pengedaran vaksin berkenaan ke dalam negara kita akan memakan masa tempoh yang lama kerana seluruh negara dalam dunia kini sedang sibuk berlumba-lumba antara satu sama lain bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

Sementara menunggu vaksin berkenaan sampai ke dalam negara kita dan diberikan kepada orang ramai dalam negara kita, langkah drastik perlu diambil bagi melindungi kesihatan awam dalam negara kita daripada jangkitan virus COVID-19 ini dan ini termasuklah dengan melaksanakan perintah PKP yang lebih ketat.

Perintah PKP yang lebih ketat dengan penutupan hampir keseluruhan sektor pekerjaan dan institusi pendidikan ini pernah dilaksanakan dalam negara kita pada bulan Mac dan April tahun 2020 yang lalu.

Perintah PKP berkenaan telah diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020 yang lalu.

Antara intipati utama perintah PKP berkenaan adalah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti, penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

Memandangkan terdapat pengurangan jumlah kes jangkitan virus COVID-19 selepas perlaksanaan PKP ini, pada 1 Mei, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan khasnya sempena sambutan Hari Pekerja telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

VIDEO: Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja

Pada 7 Jun 2020, YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan bahawa bermula pada 10 Jun 2020, Perintah PKPB ini digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Disember 2020.

BACA: PKPB tamat, diganti dengan PKP Pemulihan mulai 10 Jun

Pada 13 Januari 2021 yang lalu pihak kerajaan telah menguatkuasakan semula perintah PKP di enam buah negeri yang kemudiannya telah dikuatkuasakan di seluruh negeri dalam Malaysia kecuali Sarawak kerana terdapat peningkatan jumlah kes jangkitan virus COVID-19 yang tinggi dalam negara kita.

BACA: COVID-19: PKP di enam negeri zon merah - Perdana Menteri

BACA: PKP 2.0: Ini perkara penting anda perlu tahu daripada pengumuman PM

Namun, perlaksanaan PKP buat kali kedua ini tidak seperti PKP yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 yang lalu. Banyak sektor pekerjaan dan ekonomi yang dibenarkan untuk dibuka.

Sekolah pun dibenarkan untuk dibuka bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama.

Dengan peningkatan mendadak jumlah jangkitan COVID-19 ini dalam negara kita semenjak kebelakangan ini, pihak kerajaan boleh beri pertimbangan untuk menguatkuasakan semula perintah PKP seperti yang telah dilaksanakan pada bulan Mac dan April tahun 2020 lalu bagi membendung penularan virus COVID-19 dalam negara kita.

Perintah PKP ini dilihat sesuai untuk dilakukan bagi membendung penularan virus COVID-19 kerana segala perintah di dalamnya adalah lebih ketat, tegas dan dapat diseragamkan diseluruh negara.

Bagi mengelakkan pelaksanaan PKP ini untuk tempoh yang panjang, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung penularan virus COVID-19 ini dalam negara kita.

Pematuhan kepada semua arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan adalah penting bagi mengelakkan jangkitan diri mereka terhadap virus COVID-19 ini.

Tindakan undang-undang tegas perlu diambil dengan segera terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan mereka yang didapati masih berdegil melanggar arahan dan SOP yang telah dikeluarkan seperti yang telah diperuntukkan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Pihak kerajaan juga perlu melakukan proses pemantauan dengan lebih ketat lagi terhadap semua pintu masuk negara termasuk udara, darat dan laut bagi mengelakkan kemasukan mana-mana pihak termasuk pendatang tanpa izin (PATI) yang dijangkiti dengan virus COVID-19 ini.

Pihak majikan disemua jenis sektor pekerjaan juga perlu memandang serius terhadap peningkatan jumlah kes jangkitan virus COVID-19 ini.

Sebagai seorang ketua ditempat kerja, pihak majikan perlu dengan sedaya upaya mereka memastikan tahap keselamatan dan kesihatan semua pekerja mereka termasuk pekerja warga asing berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Pihak majikan perlu juga memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang jenis penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan diri perkerja mereka sendiri serta orang lain dan ini termasuklah perlindungan daripada penyakit berjangkit seperti COVID-19 yang sedang berlaku pada masa kini.

Tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan keselamatan para pekerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ianya juga telah termaktub di bawah peruntukkan undang-undang seperti dibawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514].

Pihak majikan di sektor-sektor tertentu perlu melaksanakan sepenuhnya sistem pekerjaan secara fleksibel serta membenarkan pekerja mereka melakukan kerja dari rumah bagi mengelakkan berlakunya jangkitan dikalangan pekerja mereka.

Pengunaan teknologi dalam talian untuk semua tugasan pejabat, mesyuarat, seminar dan kursus perlu dilakukan dengan sepenuhnya bagi elakkan penularan virus COVID-19 ini.


* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI