TAPAH: Kerajaan memberi keutamaan kepada tenaga kerja warga tempatan untuk mengisi kekosongan pelbagai sektor pekerjaan, berbanding warga asing.

Ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beberapa kementerian sengaja berdolak-dalik mengenai isu kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, sebelum mengambil pekerja asing, pihaknya juga perlu meneliti ketulenan sijil vaksinasi, yang mana terdapat isu beberapa negara memalsukan sijil berkenaan.

"Saya tidak boleh anaktirikan orang tempatan dan beri peluang pekerjaan kepada orang luar.

"Setelah kita betul-betul beri tawaran kepada orang tempatan dalam pelbagai aspek dan sudah berpuas hati, barulah kita buat keputusan untuk mengambil pekerja asing.

"Selain itu, dalam keadaan COVID-19 semua negara tutup sempadan... Saya pun tak faham macam mana nak bawa (masuk) pekerja asing, dari langit? Ataupun magik?," katanya.

Saravanan ditemui di program Pelancaran Pusat Latihan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Malaysia di Pusat Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex, Tapah Road di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebagai punca utama masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini kerana berdolak-dalik mengenai isu itu.

Beliau turut mendakwa kenaikan harga kebanyakan barangan di negara ini adalah akibat dua kementerian itu tidak dapat mencapai keputusan dalam menangani kekurangan tenaga kerja.

Tegasnya Saravanan, kemasukan pekerja asing tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya susulan situasi pandemik Covid-19 kini masih tidak menentu dan menyebabkan pintu sempadan negara tertentu masih ditutup.

Katanya lagi, pihaknya perlu memantau dengan teliti sama ada pekerja asing yang masuk ke negara asing, mempunyai sijil vaksinasi yang sah.

"Kita kena lihat SOP itu dipatuhi, ada juga negara-negara yang boleh palsukan sijil vaksin. Jadi saya kena betul-betul pantau sama ada mereka masuk dengan sijil (vaksinasi) yang sah atau tidak," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Hamzah bahawa kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk membawa pekerja asing masuk ke negara ini sebaliknya ia memerlukan persediaan rapi termasuk mengambil kira faktor keselamatan kesihatan.

"Saya setuju dengan pandangan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), kalau ikut industri mereka kalau boleh hari ini juga (ambil pekerja asing).

"Tetapi kerajaan perlu ambil kira pelbagai aspek seperti keselamatan, kesihatan, keperluan dan kadar pengangguran," katanya.