Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah membatalkan semua aktiviti luar kakitangan dan pelajarnya berikutan keadaan jerebu ketika ini.

Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam dan Media UTeM, Zulfatria Abdullah berkata langkah itu diambil setelah mengambil kira risiko kesihatan dihadapi pelajar dan kakitangan.

"Kita sudah hentikan semua aktiviti luar kokurikulum pelajar dan kursus latihan bina semangat bagi kakitangan untuk menjaga kesihatan pelajar dan kakitangan kami.

"Namun kuliah masih diteruskan seperti biasa bagi memenuhi jadual yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zulfatria berkata pengurusan UTeM tetap memantau situasi jerebu yang memberi kesan kepada komuniti kampusnya.

"Keadaan jerebu sentiasa berubah dan kita mengambil kira tahap pencemaran. Jadi, kita tunggu keputusan pengurusan dan Kementerian Pengajian Tinggi sekiranya ada keperluan menghentikan atau menangguhkan kuliah," katanya.

Beliau berkata UTeM juga telah menasihatkan pelajar dan kakitangannya untuk mematuhi langkah berjaga-jaga yang dikeluarkan pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan jerebu tidak mendatangkan mudarat kepada mereka.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, setakat 9 pagi tadi sebanyak 18 kawasan mencatat IPU tidak sihat di seluruh negara dengan IPU tertinggi dicatat di Bukit Rambai di sini iaitu 150, diikuti Port Dickson, Negeri Sembilan (142).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).