MALAYSIA

UTeM, universiti Slovakia bangun makmal AI dan sibernetik

Astro Awani 30/01/2026 | 02:40 MYT
UTeM dan universiti Slovakia bekerjasama bangunkan makmal AI serta sibernetik berteknologi tinggi.
KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik dengan Technical University of Kosice (TUKE), Slovakia dalam bidang teknikal bagi membangunkan makmal kecerdasan buatan (AI) dan sibernetik berteknologi terkini.

Naib Canselor UTeM, Massila Kamalrudin berkata, pembangunan makmal AI dan sibernetik berkenaan melibatkan perkongsian teknologi serta kepakaran di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut beliau, makmal yang akan dilengkapi teknologi moden dan canggih itu dijangka dibangunkan tahun ini dan akan digunakan secara bersama oleh UTeM serta TUKE bagi manfaat kedua-dua universiti.

Selain pembangunan Makmal AI dan Sibernetik, kedua-dua institusi pengajian tinggi itu turut merancang kerjasama dalam dua projek berimpak tinggi iaitu pembangunan teknologi komputer super serta teknologi hidrogen, yang kini mendapat perhatian dan permintaan tinggi di peringkat global.

Massila berkata, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif UTeM dalam memperkasa penggunaan AI dalam bidang TVET, sekali gus memberi impak langsung kepada aspirasi negara dalam memajukan sektor berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerjasama UTeM dan TUKE turut merangkumi program mobiliti pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi, penyebaran ilmu serta pemantapan kurikulum.

Kedua-dua universiti juga akan bekerjasama untuk memperkukuh mobiliti kredit antarabangsa menerusi program Erasmus+, selain pembelajaran berpengalaman serta penyerapan budaya antara Malaysia dan Slovakia.

Menurut Massila, hubungan erat UTeM dan TUKE telah lama terjalin dalam konteks pendidikan tinggi antarabangsa, melibatkan pelbagai agenda berimpak tinggi yang berjaya dilaksanakan secara bersama.




#Institusi Pengajian Tinggi #TVET #Universiti Teknikal Malaysia Melaka #utem