JOHOR BAHRU: Dana endowmen semakin memainkan peranan penting dalam memperkukuh kelestarian pendidikan tinggi apabila menjadi platform yang menghubungkan alumni, industri dan masyarakat dalam membantu pembangunan pelajar serta universiti.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zaini Ahmad, menegaskan dana endowmen bukan sekadar bantuan kewangan kepada pelajar, malah menjadi instrumen penting dalam memastikan kelangsungan ekosistem pendidikan yang lebih mampan.
Menurut beliau, dana itu diperoleh menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk organisasi, alumni dan pemegang taruh bagi membantu pelajar sepanjang tempoh pengajian selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan dan komuniti.
"Endowmen sebenarnya adalah dana yang diterima daripada organisasi, alumni atau pun pemegang taruh bagi membantu mahasiswa UTM sepanjang pengajian mereka, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga aktiviti pendidikan dan program berimpak bersama komuniti," katanya dalam program khas Revolusi UTM.
Beliau berkata usaha memperkasa endowmen juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan kepentingan sumber kewangan alternatif bagi memperkukuh institusi pengajian tinggi.
UTM yang mula memperkenalkan endowmen pada tahun 2009 berjaya meningkatkan dana terkumpul daripada kira-kira RM25,000 kepada hampir RM184 juta setakat Jun 2026.
Sementara itu, Pengerusi Bahagian Pemajuan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Yusof Boon, berkata tabung endowmen diwujudkan bagi membantu pelajar khususnya golongan B40 meneruskan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.
Beliau berkata lebih separuh daripada pelajar UTM terdiri daripada kumpulan B40 dan memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan lebih selesa dan berfokus.
"Dengan adanya tabung endowmen, kita dapat membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan sama ada dalam bentuk biasiswa, bantuan sara hidup, bantuan pendaftaran mahupun kemudahan pembelajaran seperti komputer riba," katanya.
Selain membantu pelajar, dana endowmen turut dimanfaatkan bagi aktiviti penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pelaksanaan program berimpak tinggi melibatkan komuniti.
Dalam pada itu, UTM turut menyasarkan pengukuhan budaya menyumbang dalam kalangan warga universiti, alumni dan masyarakat bagi memastikan manfaat endowmen dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar dan komuniti pada masa hadapan.