MALAYSIA

UTM, Perodua kerjasama bangunkan Program Kampus Mobiliti Pintar

Bernama 08/01/2026 | 05:25 MYT
Program Kampus Mobiliti Pintar dibangunkan UTM menerusi kerjasama strategik dengan Perodua, direka untuk meningkatkan mobiliti kampus dan keselamatan pelajar. - Foto UTM
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat satu pencapaian penting menerusi prapelancaran Program Kampus Mobiliti Pintar, inisiatif yang bertujuan meningkatkan keselamatan dan mobiliti pelajar serta memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri,


Ringkasan AI
  • UTM mencatat kejayaan dengan prapelancaran Program Kampus Mobiliti Pintar bagi meningkatkan keselamatan dan mobiliti pelajar serta memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri.
  • Program ini melibatkan kerjasama strategik dengan Perodua untuk meningkatkan mobiliti kampus, keselamatan pelajar, dan memberikan pendedahan dalam pembangunan syarikat pemula serta kejuruteraan aplikasi.
  • Prototaip kenderaan pintar yang dilengkapi dengan teknologi IoT telah dibangunkan di bawah fasa pertama, dengan perancangan untuk memperluas program ke seluruh negara dalam fasa kedua setelah penilaian oleh pihak pengurusan Perodua.


Prapelancaran program berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim pada Jumaat lepas dalam satu sesi eksklusif yang berlangsung di Kampus UTM Kuala Lumpur, bersama-sama Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Prof Madya Dr Nurulakmar Abu Husain.

Dalam ucapannya, Mohd Shafry memuji inovasi serta usaha bersama pasukan projek, sekali gus inisiatif itu mencerminkan komitmen UTM terhadap kerjasama berimpak tinggi antara akademia dan industri selari dengan slogan universiti, "Menginovasi Penyelesaian Lestari".

"Pihak kepimpinan UTM melihat program ini sebagai penanda aras berpotensi bagi integrasi kampus pintar, keusahawanan belia dan pembangunan infrastruktur pengangkutan lestari, serta memperkukuh peranan universiti dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang bersedia menghadapi masa hadapan yang dipacu teknologi.

"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan pelan strategik UTM ASCEND 2030, Program Kampus Mobiliti Pintar ini mencerminkan komitmen UTM dalam memupuk inovasi yang bertanggungjawab dan berteraskan nilai, demi memperkasa kesejahteraan masyarakat, kelestarian serta kemajuan nasional menerusi kerjasama berkesan antara akademia dan industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Program yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan pengeluar automatif nasional, Perodua, direka untuk meningkatkan mobiliti kampus dan keselamatan pelajar, selain memberikan pendedahan langsung dalam pembangunan syarikat pemula, kejuruteran aplikasi dan sistem pengurusan pintar.

Pada sesi tersebut, ketua projek Dr Zulhasni Abdul Rahim membentangkan kemajuan tiga prototaip kenderaan pintar yang dibangunkan di bawah fasa satu, yang dilengkapi teknologi berasaskan Internet Benda (IoT) serta ciri kawalan pintar diintegrasikan melalui aplikasi mudah alih khas yang dibangunkan oleh pelajar UTM.

Demonstrasi secara langsung turut diadakan bagi mempamerkan capaian dan kawalan jarak jauh masa nyata, sekali gus menonjolkan impak praktikal inovasi yang diterajui pelajar itu.

Program tersebut dijadualkan memasuki fasa kedua, dengan penambahan 12 kenderaan pintar, tertakluk kepada kejayaan penilaian fasa satu oleh pihak pengurusan Perodua, dengan perancangan jangka panjang untuk diperluaskan ke luar UTM serta mewujudkan ekosistem mobiliti pintar di kampus seluruh negara.

-- BERNAMA

#Universiti Teknologi Malaysia #Program Kampus Mobiliti Pintar #Perodua #industri #keselamatan pelajar