MALAYSIA
UTM terima 4,216 pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026

UTM terus komited memperkukuh kualiti pengajaran dan penyelidikan agar graduan bukan sahaja menguasai ilmu teknikal, tetapi memiliki nilai etika, kepimpinan dan daya tahan. - Gambar ihsan UTM
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima pendaftaran sebanyak 4,216 pelajar baharu bagi pengajian sarjana muda sepenuh masa sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,831 pelajar mendaftar pengajian di kampus Johor Bahru manakala 385 pelajar lagi di kampus Kuala Lumpur, melibatkan 3,850 pelajar tempatan.
Beliau berkata, Fakulti Alam Bina dan Ukur mencatatkan bilangan pelajar tertinggi dengan 628 orang, diikuti Fakulti Kejuruteraan Elektrik (482), Fakulti Sains (448), Fakulti Komputeran (411), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (390) serta Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (390).
"Program pengajian dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi terus menjadi pilihan utama kerana menawarkan prospek kerjaya yang luas dan relevan dengan keperluan, lebih-lebih lagi UTM mencatatkan 100 peratus dalam Kadar Bekerja Graduan (GE) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM), tahun lepas."(Justeru), populariti bidang ini membuktikan keyakinan pelajar terhadap keupayaan UTM (dalam) melahirkan graduan berdaya saing dan inovatif seiring perkembangan teknologi global," katanya dalam kenyataan.
Mohd Shafry berkata, universiti itu terus komited memperkukuh kualiti pengajaran dan penyelidikan agar graduan bukan sahaja menguasai ilmu teknikal, tetapi memiliki nilai etika, kepimpinan dan daya tahan untuk menjadi agen perubahan yang memberi impak kepada masyarakat.
"Selain itu, kita turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan dengan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasakan kebajikan mahasiswa serta menyediakan persekitaran kampus inklusif kepada golongan kurang upaya (OKU)," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami