KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) mencipta satu lagi kejayaan apabila melonjak kepada band 401-500 daripada band terdahulu 501-600 dalam Time Higher Education (THE) World University Rangkings 2023.

Melalui kejayaan itu, UTP mengekalkan kedudukan di tempat pertama universiti swasta terbaik di Malaysia dan tempat kedua bagi keseluruhan universiti di negara ini di samping keenam dalam kalangan universiti ASEAN.

Berdasarkan penarafan terkini, UTP telah mencatatkan peningkatan markah yang ketara.

"Pengiktirafan daripada THE adalah satu pencapaian yang membanggakan dan kami akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan," kata Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam kenyataan.

Beliau berkata penarafan itu adalah sokongan terhadap reputasi UTP sebagai institusi penyelidikan dan pendidikan terkemuka dunia.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen kami untuk memupuk penyelidikan bertaraf dunia, persekitaran pembelajaran dan pengalaman pelajar menyokong matlamat kami untuk menjadi institusi terkemuka yang mampan," katanya.

Mohamed Ibrahim berkata UTP amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi Petronas dan rakan kongsi universiti terhadap pencapaian tersebut.

"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan dan pelajar atas dedikasi dan komitmen mereka. Kami sentiasa komited untuk menyampaikan kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui kerjasama strategik dengan rakan kongsi di seluruh dunia, khususnya dalam bidang berkepentingan bersama," katanya.

Beliau juga berkata UTP akan terus menyokong aktiviti peralihan tenaga Petronas untuk menuju ke arah sifar bersih pelepasan karbon (NZCE) menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada aspirasi universiti ke arah keunggulan global.

"Kami juga akan meneruskan usaha untuk memberikan sokongan terbaik dalam memudahkan pengalaman pembelajaran pelajar dan menghasilkan graduan berkualiti tinggi serta bersedia pada peringkat global," katanya.

-- BERNAMA