KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjadi universiti swasta pertama di negara ini dianugerahkan akreditasi Pembekal Ujian Kemahiran (PTP) di bawah Skim Akreditasi Malaysia Proficiency Testing Provider (MyPTP) ISO/IEC 17043:2010.

Sijil akreditasi itu disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) Shaharul Sadri Alwi kepada Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib pada majlis khas di kampus induk universiti berkenaan di Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini.

Skim Akreditasi MyPTP ISO/IEC 17043:2010 merupakan standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai syarat am bagi menentukan kewibawaan pembekal skim ujian kecekapan selain untuk pembangunan dan operasi skim ujian kecekapan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamed Ibrahim berkata pentauliahan itu merupakan pencapaian penting UTP, kerana makmalnya yang diurus oleh Jabatan Pengurusan Makmal (LMG), kini setanding dengan penyedia perkhidmatan makmal lain di seluruh dunia.

"Makmal kami dilengkapi dengan fasiliti canggih untuk pelajar dan para penyelidik mengembangkan kemahiran makmal mereka sebagaimana diperlukan dalam industri pekerjaan hari ini.

Pada akhirnya, matlamat kami adalah untuk diiktiraf sebagai rakan perniagaan pilihan dalam menyediakan operasi, pengurusan dan perkhidmatan makmal profesional untuk pembelajaran dan operasi makmal mampan," katanya.

Sementara itu, LMG akan menawarkan akreditasi PTP bagi ujian air (pH (nilai keasidan atau kealkalian), Kekeruhan dan Jumlah Pepejal Terampai) bermula Januari tahun depan.

Pada 2012, LMG UTP menerima pentauliahan daripada Standards Malaysia di bahawa Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) bagi ISO/IEC 17025 for SAMM No. 544 dan SAMM No.622 pada 2013.

-- BERNAMA