KUALA LUMPUR: Portal berita tempatan Utusan  Malaysia memohon maaf selepas menerbitkan artikel berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Utusan Malaysia telah menerbitkan artikel berkenaan di laman sesawangnya pada Selasa.

Tidak lama selepas artikel itu diterbitkan, pembaca mendapati artikel asal berkenaan telah dipadamkan. Artikel yang menyusul ialah permohonan maaf pihak redaksi Utusan kerana fakta berhubung pengampunan Najib itu tidak dapat disahkan.

"Pihak Utusan Malaysia telah menarik balik berita mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak ini kerana fakta yang tidak dapat disahkan," memetik Utusan dalam permohonan maaf itu.

“Oleh itu pihak kami memohon maaf kepada pembaca," tambah Utusan Malaysia.

Terdahulu, beberapa portal berunsur hiburan dan informasi telah menyebarkan maklumat palsu yang menyebut ‘Najib kini bebas’ ketika tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

Astro Awani menyarankan para pembaca supaya berhati-hati dan lebih teliti dalam berkongsi maklumat di platform-platform media sosial yang kini sarat dengan maklumat palsu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu hantaran di platform X hanya mengesahkan satu mesyuarat membabitkan Lembaga Pengampunan telah berlangsung di Istana Negara, di sini,

Namun, tiada pengesahan tentang inti pati mesyuarat berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan Fahmi Fazil turut menyarankan agar pihak media tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung perkara berkenaan.