NATIONAL
UUM akan hulur bantuan, sumbangan termasuk urusan jenazah Manarina - Naib Canselor
Kakitangan UUM menunggu urusan bedah siasat bagi menguruskan penghantaran jenazah Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim yang maut dalam nahas melibatkan dua bas di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menghulurkan segala bantuan dan sumbangan termasuk menguruskan jenazah penuntutnya, Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM, di sini, pada Sabtu.
Ringkasan AI
- UUM akan menguruskan jenazah dan memberi bantuan kewangan kepada keluarga Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim.
- Jenazah akan dikebumikan di Johor selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah.
- UUM menyerahkan siasatan kemalangan kepada pihak polis dan belum menerima laporan lengkap.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak di Labis, Johor sebaik selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar hari ini.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, UUM akan bantu uruskan jenazah termasuk penghantaran jenazah menggunakan van jenazah UUM untuk proses pengebumian.
“Empat bantuan UUM antaranya pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum), bantuan khairat kematian pelajar RM1,500, sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta bantuan urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.
“Kita masih menunggu proses bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham Manarina selesai dan jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Johor," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini, pada Ahad.
Berhubung insiden itu, katanya, UUM menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis dan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap siasatan kemalangan.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini pada pukul 6.30 petang semalam.