Vaksin AstraZeneca bakal diterima pertengahan pertama 2021

Nailah Huda
Disember 23, 2020 05:08 MYT
Vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca boleh disimpan dalam peti sejuk konvensional selama sekurang-kurangnya enam bulan. Foto - Reuters
KUALA LUMPUR: Penghantaran pertama vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca dijangka bermula pada pertengahan pertama 2021.
Kerajaan Malaysia dan syarikat farmaseutikal itu telah memeterai perjanjian untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin buat rakyat Malaysia.
“AstraZeneca cukup berbangga untuk menekankan komitmen kami kepada Malaysia dan menyokong strategi vaksin COVID-19 kerajaan untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca/Universiti Oxford, dengan tiada keuntungan diraih ketika pandemik ini,” kata Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal.
Dalam satu kenyataan, AstraZeneca turut bersetuju akan meluaskan kapasiti pembuatan global bagi menjaminkan bekalan khusus vaksin AZD1111 untuk Malaysia.
Ujian klinikal fasa ketiga yang dijalankan bersama Universiti Oxford mendapati vaksin AZD1111 selamat dan 70 peratus berkesan dalam mencegah gejala COVID-19.
“Untuk memastikan bakal vaksin itu menepati piawaian keselamatan tertinggi dan undang-undang kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan AstraZeneca bekerjasama untuk mendapatkan kelulusan,” menurut kenyataan itu.
Berbanding vaksin buatan Pfizer dan BioNTech, vaksin AstraZeneca sebaliknya tidak memerlukan suhu ekstrem untuk penyimpanan.
Vaksin tersebut boleh disimpan dalam peti sejuk konvensional selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Kos bagi setiap dos juga lebih murah, iaitu dianggarkan AS$4 (RM16.25) berbanding vaksin Pfizer bernilai AS$20 (RM81).
“AstraZeneca bekerjasama dengan Universiti Oxford, kerajaan-kerajaan, institusi kesihatan seperti WHO, CEPI dan GAVI serta pengeluar untuk membekalkan vaksin secara meluas, sama rata serta tidak meraih keuntungan ketika pandemik ini,” menurut kenyataan tersebut.
Amerika Syarikat telah membuat perjanjian untuk membekalkan 300 juta dos vaksin AstraZeneca dan 100 juta dos dari Pfizer.
COVAX turut telah membuat pesanan untuk 300 juta dos vaksin AstraZeneca.
#vaksin #COVID-19 #vaksin COVID-19 #AstraZeneca #Universiti Oxford #Pfizer #BioNTech #KKM #MOSTI #WHO #Moderna