KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi harian COVID-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan lebih 500,000 untuk tiga hari berturut-turut.

Pada Rabu, pemberian suntikan harian sebanyak 552,701 dos yang kedua tertinggi pernah direkodkan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula hujung Februari lalu.

Menurut data Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian dos pertama merekodkan 353,771 manakala bagi dos kedua 198,930.


Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 di Malaysia menghampiri angka 19 juta iaitu 18,946,048.

Operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 239,874 dos diberikan secara keseluruhan, pada Rabu.