KUALA LUMPUR: Seramai 19,633,681 individu atau 60.1 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan portal COVIDNow hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, sebanyak 69.9 peratus atau 22,834,060 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 19,604,699 atau 83.7 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin.

Manakala 93.7 peratus atau 21,944,808 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 28,982 atau 0.9 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Sebanyak pertambahan 269,465 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 42,375,862 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung Pandemik COVID-19 di seluruh negara.