KUALA LUMPUR: Seramai 25.36 juta individu atau 77.7 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat Ahad.

Berdasarkan data portal COVIDNOW, 79.1 peratus atau 25.82 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Manakala seramai 22.65 juta individu atau 96.8 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, 98.3 peratus atau 23 juta daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi remaja pula, seramai 2.7 juta individu atau 85.9 peratus telah melengkapkan dua dos.

Sementara itu, data kemajuan program imunisasi mengikut negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.

Terdapat pertambahan 42,010 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 53.23 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.