Vaksin COVID-19: KKM akan pastikan proses pendaftaran bersyarat kurang daripada 90 hari

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 23, 2020 11:18 MYT
Jika semua proses berjalan dengan lancar, penggunaan vaksin akan diluluskan secara bersyarat sebelum Mac 2021. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedaya upaya akan memastikan proses bagi mengurangkan masa pendaftaran bersyarat vaksin COVID-19 kurang daripada 90 hari.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jika semua proses berjalan dengan lancar, penggunaan vaksin akan diluluskan secara bersyarat sebelum Mac 2021.
“Setakat ini hanya satu syarikat telah hantar pendaftaran kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan dalam keadaan biasa kita ambil masa 90 hingga 120 hari.
“Tetapi ini adalah keutamaan yang diberi, jadi kami akan cuba kurangkan masa untuk proses keberkesanan dan kesan sampingan kesan kualiti vaksin tersebut.
“Jika semua teratur maka akan dapat luluskan secara bersyarat sebelum Mac 2021. Kita juga sedaya upaya jalankan proses-proses kenal pasti untuk kurangkan masa pendaftaran bersyarat vaksin kurang 90 hari,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham turut menjelaskan akan sentiasa memantau perkembangan penemuan mutasi baharu dan implikasinya terhadap populasi di negara ini.
Katanya, berdasarkan pemantauan tersebut ia juga akan memberi informasi baharu termasuk keberkesanan vaksin yang sudah dibangunkan dan kadar kebolehjangkitannya.
“Apa yang penting dalam perkembangan penemuan mutasi adalah impaknya kepada kesihatan. Hari ini kita lihat ada varian baharu VUI (Variant Under Investigation) 202012/01 di United Kingdom.
“Jadi kami akan sentiasa memantau virus yang bermutasi dan kesan mutasi tersebut. Kami juga akan mengkaji tahap keberkesanan vaksin, kebolehjangkitan dan impaknya terhadap populasi di negara ini,” katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #COVID-19 #United Kingdom #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #NPRA #vaksin #Variant Under Investigation #VUI