PUTRAJAYA: Seramai 139,720 individu dalam kumpulan fasa pertama berjaya divaksinkan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat 7 Mac 2021.

Menteri Penyelaras PICK, KhairyJamaluddin berkata, daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan jumlah suntikan dos pertama vaksin tertinggi iaitu seramai 22,140 individu.

Jumlah itu katanya, diikuti Pahang iaitu sebanyak 14,473; Selangor (12,336); Kelantan (11,927) dan Sabah (11,739); dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 11,267 individu.

"Johor pula merekodkan jumlah suntikan sebanyak 10,719; Perak (10,678); Terengganu (6,932); Kedah (6,269 dan Pulau Pinang iaitu sebanyak 5,292 individu.

"Negeri yang mencatatkan jumlah dibawah 5,000 termasuk Negeri Sembilan iaitu sebanyak 4,864; Melaka (4,312); Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan masing-masing merekodkan jumlah sebanyak 2,290 dan 2,259 individu," katanya dalam sidang media perkembangan PICK di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, lebih 3.8 juta rakyat di negara ini telah berdaftar dalam PICK.

"Daripada jumlah itu, 3.6 juta individu telah berdaftar menggunakan aplikasi MySejahtera manakala 173,535 pula mendaftarkan menggunakan laman web rasmi vaksin COVID-19.

"Selain daripada itu, seramai 839 individu pula mendaftarkan untuk menerima suntikan vaksin menggunakan talian hotline yang mula beroperasi pada 5 Mac lalu," jelasnya.

Sementara itu, beliau menambah, seramai 221,819 individu yang berdaftar dan berada dalam kumpulan fasa pertama telah menerima maklumat berkaitan tarikh dan masa temu janji untuk divaksinkan.