Malaysia disahkan akan menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 (COVAX) bagi mendapatkan sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 yang diperlukan.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pihaknya sedang membincangkan terma penyertaan Malaysia dengan The Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI) yang mengendalikan COVAX tersebut.

“Pendekatan Malaysia dengan menyertai COVAX, menjalinkan kerjasama strategik dengan negara lain dan berunding terus dengan syarikat-syarikat farmaseutikal akan memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dan pada kadar yang segera dengan harga yang berpatutan apabila vaksin tersebut terbukti selamat serta berkesan,” jelasnya.

Tambah kementerian itu dalam satu kenyataan media pada Sabtu, pihaknya juga akan menyelaraskan perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Malaysia sedang menyediakan perjanjian bagi menyertai Coalition for Epidemic and Preparedness Innovations (CEPI) serta perjanjian government to government (G2G) bersama kerajaan China.

“Ia bagi mendapatkan akses kepada vaksin yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal di negara tersebut.

Dalam pada itu, Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), juga telah menandatangani “non-disclosure agreement” dengan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa yang sedang menguji vaksin COVID-19 di peringkat fasa ketiga untuk berunding bekalan vaksin yang bakal mendapat kelulusan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penjelasan bahawa Malaysia tidak mahu terburu-buru kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuk pendekatan berdasarkan sains diplomasi membabitkan pembangunan vaksin dari negara luar.

Sebagai rekod, lebih 170 negara telah menyertai rancangannya untuk mengedarkan vaksin di seluruh dunia, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).