Skip to main content

Malaysia

Vaksin PCV13 lindungi kanak-kanak daripada jangkitan pneumokokus

Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata PCV13 perlu dinilai berdasarkan manfaat perlindungannya, keberkesanan klinikal, kos dan kesesuaiannya dengan corak penyakit dalam kalangan masyarakat Malaysia. --fotoBERNAMA
Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata PCV13 perlu dinilai berdasarkan manfaat perlindungannya, keberkesanan klinikal, kos dan kesesuaiannya dengan corak penyakit dalam kalangan masyarakat Malaysia. --fotoBERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Vaksin PCV13 penting untuk mencegah penyakit serius akibat Streptococcus pneumoniae, terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun yang berisiko tinggi.
  • Imunisasi PCV13 membantu mengurangkan komplikasi, kemasukan ke hospital dan beban rawatan terhadap keluarga serta sistem kesihatan negara.
  • Pemantauan berterusan dan pengumpulan data tempatan diperlukan bagi memastikan perlindungan vaksin sepadan dengan keperluan kesihatan semasa di Malaysia.

PUTRAJAYA: Vaksin pneumokokus konjugat 13-valen (PCV13) mempunyai peranan penting dalam mencegah penyakit serius yang disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae, khususnya dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang lebih berisiko mengalami komplikasi jangkitan.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar SALAM Senawang Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata penyakit pneumokokus bukan sekadar menyebabkan pneumonia, malah boleh mengakibatkan jangkitan telinga, meningitis dan jangkitan bakteria dalam darah yang berpotensi membawa kepada kecacatan kekal atau kematian.

“Bila kita sebut invasive pneumococcal disease, ia bukan sekadar pneumonia. Ia boleh menyebabkan jangkitan telinga, jangkitan paru-paru yang teruk, jangkitan otak dan akhirnya kematian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata pencegahan melalui vaksinasi amat penting kerana rawatan bagi jangkitan serius boleh memerlukan kemasukan ke hospital, antibiotik untuk tempoh panjang serta rawatan susulan sekiranya pesakit mengalami komplikasi.

PCV13 ialah vaksin yang dicipta untuk memberikan perlindungan terhadap 13 serotip Streptococcus pneumoniae, iaitu kumpulan bakteria yang dibezakan berdasarkan ciri antigen pada kapsulnya. Vaksin ini membantu sistem imun mengenali serotip berkenaan dan membina tindak balas perlindungan terhadapnya.

Dalam kalangan kanak-kanak, kepentingan PCV13 turut berkait dengan risiko pendedahan di tempat sesak seperti taska dan pusat jagaan yang meningkatkan peluang penularan bakteria antara kanak-kanak.

Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata kanak-kanak bawah lima tahun merupakan kumpulan yang perlu diberikan perhatian kerana sistem imun mereka masih berkembang, manakala jangkitan pneumokokus boleh membawa kesan yang lebih serius apabila melibatkan paru-paru, otak atau aliran darah.

Selain mengurangkan risiko penyakit yang disebabkan serotip dalam vaksin, imunisasi juga sebahagian daripada strategi kesihatan awam untuk mengurangkan komplikasi, kemasukan ke hospital dan beban rawatan terhadap keluarga.

“Kanak-kanak berusia bawah lima tahun adalah antara kumpulan yang paling berisiko dijangkiti penyakit pneumokokus. Risiko ini dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk pendedahan kepada persekitaran sesak seperti pusat jagaan kanak-kanak dan taska, tahap kebersihan di rumah serta pemakanan yang tidak seimbang.

“Kebersihan yang kurang memuaskan dan kekurangan nutrisi boleh menjejaskan daya tahan tubuh, sekali gus meningkatkan kerentanan kanak-kanak terhadap jangkitan,” katanya.

Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata PCV13 perlu dinilai berdasarkan manfaat perlindungannya, keberkesanan klinikal, kos dan kesesuaiannya dengan corak penyakit dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Kalau berdasarkan perspektif akademik, PCV13 sudah memadai buat masa ini dan manfaat vaksin pneumokokus perlu dilihat dari sudut pencegahan komplikasi, pengurangan keperluan rawatan di hospital dan usaha mengurangkan beban penyakit terhadap keluarga dan sistem kesihatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penilaian terhadap PCV13 perlu mengambil kira keadaan epidemiologi Malaysia, termasuk taburan serotip yang menyebabkan jangkitan bagi menentukan sama ada perlindungan yang ditawarkan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa vaksin dengan bilangan serotip lebih tinggi tidak semestinya memberikan pertambahan manfaat yang sama besar dalam setiap populasi.

Hal ini kerana serotip yang dominan dan menyebabkan penyakit serius boleh berbeza mengikut lokasi dan berubah dari semasa ke semasa.

Justeru, pemantauan berterusan terhadap penyakit pneumokokus penting untuk menentukan sama ada serotip yang diliputi oleh PCV13 masih sepadan dengan keperluan kesihatan penduduk dan sama ada perlindungan tambahan diperlukan.

Pada masa yang sama, Dr Mohd Zaqrul Razmal turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai penyakit pneumokokus dan manfaat vaksinasi supaya keputusan imunisasi dibuat berdasarkan maklumat yang tepat, bukan ketakutan atau maklumat yang tidak disahkan.

Beliau turut berpandangan Malaysia perlu memperkukuh pengumpulan data tempatan mengenai serotip pneumokokus melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan, universiti, institusi penyelidikan dan makmal penyelidikan agar data berkenaan boleh membantu menentukan keberkesanan strategi vaksinasi dan keperluan perubahan formulasi pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement