KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan mengadakan program jangkauan ke daerah-daerah pedalaman bagi membantu mereka yang tidak mempunyai akses teknologi dalam mendaftar serta mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan Masyarakat, Shahelmey Yahya berkata semua daerah di seluruh negeri itu sudah memulakan proses vaksinasi.

"Bagi masyarakat yang berada di luar bandar, Badan Petugas Khas COVID-19 negeri Sabah akan mengadakan aktiviti outreach, iaitu mereka akan mengenal pasti kumpulan-kumpulan sasar untuk dibantu tujuan pendaftaran dan penerima vaksin ini nanti," katanya.

Jelasnya, sebanyak 195 buah Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) telah dikenal pasti di seluruh Sabah, setakat hari ini.

"PPV ini boleh jadi hospital kerajaan, klinik kesihatan kerajaan, dewan-dewan masyarakat dan juga pejabat-pejabat yang telah dikenalpasti sesuai untuk dilaksanakan program imunisasi ini.

"Di daerah-daerah, melalui Badan Petugas Khas COVID-19, mereka telah mengadakan mesyuarat dan sebagaimana yang saya katakan tadi, outreach programme akan dilakukan bagi mengenal pasti dan menggalakkan mereka untuk mendapatkan vaksin tersebut.

"Kita melaksanakan program outreach yang melibatkan pegawai-pegawai daerah, pemimpin-pemimpin masyarakat setempat untuk mengenal pasti kumpulan sasar ini," katanya dalam sidang media selepas menerima kumpulan ketiga vaksin COVID-19, pada Khamis.

Shahelmey mewakili kerajaan negeri dalam menyambut ketibaan kumpulan vaksin ketiga bagi Fasa 1 yang selamat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada kira-kira 12.30 tengah hari.

"Pada hari ini kita menerima sebanyak 26,910 dos vaksin yang akan diedarkan ke tiga tempat iaitu Hospital Queen Elizabeth, Hospital Angkatan Tentera dan juga Hospital Tawau.

"Jumlah keseluruhan dos yang telah kita terima bagi Fasa 1 pelaksanaan imunisasi vaksin COVID-19 bagi negeri Sabah adalah berjumlah 60,840 dos setakat hari ini.

"Kalau mengikut data semalam, sebanyak 16,577 orang penerima vaksin telah divaksinasi daripada sasaran seramai 42,000 orang," katanya lagi.

Tambahnya kerajaan negeri Sabah menyeru dan mengalu-alukan agar orang ramai supaya mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 ini apabila dibuka bagi Fasa 2 dan Fasa 3 nanti.

Sebanyak 104,110 vaksin diperuntukkan bagi Sabah buat masa ini yang akan dihantar ke negeri itu dalam enam penghantaran, dengan kumpulan keenam yang dijangka tiba pada 1 April depan.