TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempergiatkan usaha vaksinasi COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli supaya dapat diselesaikan menjelang Oktober ini, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata berdasarkan statistik, daripada 144,180 individu masyarakat itu yang layak menerima vaksin, seramai 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 orang telah lengkap kedua-dua dos, setakat semalam.

"Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata SK Penderas kini dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) pesakit Orang Asli sekitar Parlimen Kuala Krau yang menunjukkan peningkatan kes baharu sehingga ada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Kita telah memperoleh kebenaran Jabatan Pendidikan Pahang untuk menggunakan sekolah ini, yang boleh memuatkan sehingga 500 pesakit dalam satu-satu masa. PKRC ini mula beroperasi semalam dan akan dibuka sehingga tiada lagi kes baharu dilaporkan," katanya.

Setakat semalam, terdapat 1,133 kes positif COVID-19 direkodkan di 10 perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, dengan empat kematian direkodkan setakat Ahad lepas.

Setakat hari ini, seramai 148 pesakit sedang dirawat di PKRC SK Penderas dan dijangka lebih ramai akan dipindahkan ke situ dalam masa terdekat.

-- BERNAMA