Sebuah van persendirian membawa 10 orang murid yang terbalik selepas merempuh sebuah kereta di sekitar Bandar Utama awal hari ini, telah disahkan tidak mempunyai lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV).

Pengesahan dibuat oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Menurut laporan, kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi dan van yang membawa murid-murid berusia antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama dan kemudiannya merempuh sebuah kereta dipersimpangan lampu isyarat.

“Van tersebut merempuh sebuah kereta dari arah belakang dan berikutan kes ini siasatan lanjut akan dilakukan bersama JPJ dan Puspakom” kata Arjunaidi.

Tambahnya lagi, pemandu kereta terbabit telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Susulan kemalangan tersebut, sembilan murid termasuk dua orang cedera parah di kepala dan kaki, dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh.