MALAYSIA

Van sekolah bawa 22 murid kemalangan dengan treler

Sinar Harian 07/07/2025 | 08:43 MYT
Keadaan van sekolah yang terlibat dalam nahas dengan lori treler bawa muatan simen. - Foto: JBPM Johor
JOHOR BAHRU: Sebuah van sekolah yang membawa 22 murid terlibat dalam nahas dengan sebuah treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Sebuah van sekolah yang membawa 22 murid terlibat dalam kemalangan dengan treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya PLUS arah selatan; pemandu van tersepit dan tiga murid cedera.
  • Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit, manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
  • Video tular menunjukkan orang awam membantu menyelamatkan murid-murid terlibat.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Azizi Zakaria memaklumkan, 10 anggota termasuk dari BBP Kempas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 1.10 tengah hari.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan van sekolah dan treler bawa muatan simen.

“Terdapat 22 mangsa terdiri daripada murid sekolah di dalam van tersebut. Pemandu van sekolah tersepit di tempat duduk manakala tiga murid mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Orang ramai membantu menyelamatkan murid-murid yang terlibat dalam nahas terbabit. - Foto tular


Jelas Muhamad Aziz, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan bersama seorang kanak-kanak lelaki yang cedera kepada ambulans.

"Sementara dua kanak-kanak perempuan yang turut cedera dihantar menggunakan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan.

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Sebelum itu tular video selama 10 saat memaparkan orang ramai membantu kanak-kanak dalam nahas membabitkan van sekolah dan sebuah treler. - Sinar Harian






#kemalangan bas sekolah #kemalangan treler #pelajar sekolah cedera #Johor