VIRUS adalah sejenis mikroorganisma yang tidak boleh membiak sendiri dan memerlukan perumah seperti manusia atau haiwan untuk membiak. Pembiakan atau replikasi virus berupaya menghasilkan beribu-ribu ‘anak’ atau virus baru. Virus secara umumnya mempunyai sistem ‘proofreading’ untuk memastikan virus baharu yang terhasil mempunyai ciri yang sama dengan induk (ibu).

Namun, bagi virus jenis RNA seperti coronavirus, sistem ‘proofreading’ tidak begitu efisien menyebabkan kemungkinan virus baharu mempunyai ciri berbeza disebabkan kesilapan semasa proses meniru susunan genetik virus induk. Perubahan pada susunan genetik dinamakan sebagai mutasi.

Perubahan genetik berlaku setiap kali proses replikasi berlaku. Perubahan boleh berlaku pada satu atau banyak tempat. Kebanyakan mutasi dikategorikan sebagai minor, di mana keadaan ini tidak mempengaruhi struktur atau tingkah laku virus. Manakala mutasi major boleh mengubah virus sama ada menjadi lebih baik, ganas atau sama tingkah laku dengan virus asal. Varian ialah terma yang merujuk kepada virus yang telah bermutasi dan berbeza daripada virus asal.

Mutasi virus berlaku semasa proses replikasi atau pembiakan yang berlaku di dalam badan seseorang yang dijangkiti. Apabila ramai yang dijangkiti, maka banyaklah replikasi virus berlaku, dan banyaklah kemungkinan untuk berlakunya mutasi dan terhasilnya varian baharu.

Bagi virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan COVID-19, beberapa varian telah dikenal pasti, antaranya Alpha, Beta, Delta dan yang terbaru ialah Omicron. Varian-varian ini mempunyai mutasi di beberapa tempat, terutamanya di bahagian ‘spike’ virus. Sebagai contoh, varian Delta mempunyai 17 mutasi manakala varian Omicron mempunyai 50 bahagian yang bermutasi di mana 32 daripadanya melibatkan struktur ‘spike’. ‘Spike’ adalah struktur penting virus yang membantu virus memasuki sel manusia melalui reseptor ACE-2. Mutasi pada ‘spike’ menyebabkan kebolehjangkitan lebih tinggi kerana virus lebih mudah memasuki sel.

‘Spike’ juga adalah sasaran utama vaksin COVID-19. Apabila menerima vaksin, sistem imun akan menghasilkan sel memori dan antibodi terhadap bahagian ‘spike’ virus. Vaksin COVID-19 sedia ada mengguna pakai antigen atau kod genetik bahagian ‘spike’ virus asal (Wuhan) yang belum bermutasi. Ini bermakna, antibodi yang dihasilkan oleh vaksin sangat berkesan terhadap virus asal. Apabila seseorang dijangkiti virus varian, antibodi mungkin mengalami kesukaran untuk mengecam virus kerana terdapat perbezaan akibat mutasi. Ini boleh menyebabkan peratus keberkesanan vaksin berkurang seperti mana yang berlaku kepada varian Delta. Bagi varian Omicron, keberkesanan vaksin masih dalam kajian, namun berkemungkinan besar ia juga berkurang.

Oleh kerana jumlah mutasi ‘spike’ bagi varian Omicron lebih tinggi berbanding varian Delta, kesan jangkitan Omicron dijangka akan menyebabkan kenaikan kes dan kematian yang mendadak. Kebanyakan negara telah mengambil tindakan proaktif untuk mengekang penularan varian tersebut. Sebagai rekod, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah mengeluarkan garis panduan baharu bagi pengembara yang memasuki negara tersebut dari negara-negara Afrika.

Pihak berkuasa Jepun juga telah mengarahkan syarikat penerbangan mereka untuk menghentikan tempahan penerbangan antarabangsa sehingga akhir tahun ini. Lebih membimbangkan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun mengesan kes pertama varian Omicron seperti mana yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kes tersebut melibatkan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak. Pelajar tersebut telah didapati positif COVID-19 pada 19 November 2021 dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November 2021 yang lepas. Penjujukan genom ke atas sampel beliau pada 2 Disember 2021 mendapati ia adalah VOC Omicron.

Berdasarkan sumber daripada WHO, tahap penularan dan kadar kebolehjangkitan varian baharu ini masih dalam kajian. Data-data dari kajian dan penyelidikan amat diperlukan untuk menentukan sama ada varian Omicron ini lebih berbahaya dari varian Delta dari segi kadar jangkitan, kemasukan ke hospital, tahap keterukan gejala dan juga kematian. Namun begitu, sehingga sekarang jangkitan COVID-19 oleh varian Omicron ini masih boleh dikesan dengan teknik pengesanan virus yang sedia ada iaitu Polymerase Chain Reaction (PCR).

Dengan wujudnya pelbagai jenis varian, adakah vaksin masih relevan? Vaksinasi mengurangkan kadar jangkitan, maka mutasi kurang berlaku. Tidak dinafikan bahawa mereka yang divaksin juga boleh dijangkiti, namun antibodi yang dirangsang oleh vaksin mempercepatkan proses penyingkiran virus, jadi tidak banyak replikasi berlaku dan tempoh penularan juga singkat. Vaksin masih boleh memberi perlindungan (walaupun mungkin berkurang) dan mengurangkan risiko jangkitan teruk berbanding jika tidak mengambil vaksin. Bagi yang tidak mengambil vaksin, mereka lebih berisiko untuk dijangkiti dan sistem imun memerlukan masa yang lama untuk bertindak balas. Ini menyebabkan banyak replikasi berlaku, dan risiko mutasi juga tinggi.

Melihat kepada perkembangan sekarang, kami berpendapat formulasi baru vaksin perlu dikeluarkan segera. Beberapa syarikat sebenarnya telah mula menjalankan penyelidikan dan proses pembuatan dijangka tidak mengambil masa yang lama seperti ketika vaksin mula dikeluarkan.

Vaksin COVID-19 dilihat akan menjadi seperti vaksin influenza, di mana formulasi baru dicipta setiap tahun berdasarkan strain/varian yang mendominasi. Di samping itu, kita harus terus mematuhi SOP dan berjaga-jaga kerana kita boleh mengurangkan kewujudan varian dengan membantu mengurangkan kadar jangkitan.

Kita masih belum menang!

Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamad
Dr Saarah Huuerieyah Wan Rosli
Pensyarah dan Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)