[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Varian Omicron: KJ gesa orang ramai tingkat langkah kesihatan awam

Afiezy Azaman 30/11/2021 | 01:15 MYT
Khairy Jamaluddin berkata antara peningkatan langkah kesihatan awam termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan amalan kebersihan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan menggesa orang ramai untuk meningkatkan langkah kesihatan awam bagi mencegah jangkitan COVID-19 di tengah kebimbangan varian baharu Omicron.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara peningkatan langkah kesihatan awam termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan amalan kebersihan.
"Kita tahu varian Omicron mungkin lebih mudah ditularkan daripada varian Delta, tetapi kita belum tahu virulence (keterukan / keparahan) varian tersebut.
"Apa yang boleh kita lakukan dalam masa yang sama ialah meningkatkan amalan kesihatan awam dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, amalan kebersihan dan menambah baik pengaliran udara kawasan tertutup.
"Pastikan warga emas kita selamat dan ambil dos penggalak apabila ditawarkan," katanya dalam ciapan Twitter, pada Selasa.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian COVID-19 baharu, Omicron berisiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan strain baharu itu.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan strain COVID-19 yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu adalah 'varian yang sangat berbeza'.
WHO berkata semua negara perlu meningkatkan pengawasan penularan varian itu bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai kepantasannya merebak dan di mana yang dijangkiti.
Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah telah menyekat kemasukan pengembara dari Afrika Selatan dan tujuh negara yang dikaitkan dengan varian Omicron.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Omicron