SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Veteran ATM didenda RM48,000 kemuka tuntutan palsu

Bernama 21/08/2025 | 12:54 MYT
Tertuduh yang pernah bertugas di ATM Labuan didakwa di bawah Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
LABUAN: Seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didenda RM48,000 di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 12 pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan berjumlah lebih RM336,000.

Fairuzul Fazillah Musa yang pernah bertugas di ATM Labuan didakwa di bawah Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menggunakan dokumen diketahui palsu sebagai tulen untuk membuat tuntutan Elaun Latihan Tempatan PSSTLDM (BAT E 39) dan Elaun Sagu Hati Tahunan PSSTLDM (BAT E 42 - Jan 2016) antara Januari 2015 hingga Februari 2016.

Tertuduh kemudian ditawarkan 12 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah pada 24 Jan 2025.

Hakim Jason Juga memerintahkan Fairuzul membayar denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan dia membayar jumlah keseluruhan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

#VETERAN ATM #denda #mahkamah #tuntutan palsu #dokumen palsu