Nama Veveonah Mosibin 'trending' di laman sosial Twitter pada Selasa selepas didakwa menipu kerana mahu mengejar populariti.

Segala-galanya bermula apabila gadis berusia 18 tahun itu sukar mendapat capaian Internet sehingga terpaksa memanjat pokok dan bukit di rumahnya di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.

Kesukaran Veveonah yang pada ketika itu mahu menjalani peperiksaan dalam talian didakwa hanya satu kisah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

BACA: "Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa" - Veveonah

BACA: Timbalan menteri minta maaf dakwa Veveonah palsukan kisah duduki peperiksaan atas pokok

BACA: Dakwa Veveonah menipu: Zahidi dedah dapat maklumat daripada ahli Parlimen Kudat


"Saya bekerja keras untuk menjalani peperiksaan dalam talian beberapa bulan lalu dan saya tidak menyangka ia akan tular sedemikian rupa.

"Kali ini, berita mengenai saya tular lagi tapi dengan kesan yang tidak baik," tulis Veveonah dalam akaun Facebook miliknya.

Susulan daripada itu, banyak pihak tampil menyelar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanggunjawab mengeluarkan kenyataan berkenaan sehingga menyebabkan remaja itu dikecam teruk.

Zahidi dalam satu perkembangan tampil menjelaskan beliau menerima maklumat berkaitan Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1.

Abd Rahim memaklumkan bahawa Veveonah merupakan seorang Youtuber selain pada hari tersebut tidak ada peperiksaan.

Hari ini, abang Veveonah, Mekvin Mosibin Zahidi menjemput Abdul Rahim Bakri turun sendiri ke perkampungan untuk melihat realiti sebenar kehidupan penduduk di sana.

BACA: 'Cuba kau masuk kampung pedalaman' - Abang Veveonah cabar dua Timbalan Menteri

BACA: 'Ini buli siber terhadap Veveonah' - Hannah Yeoh kecam tindakan dua Timbalan Menteri


"Kalau kau YB, turun padanglah. Masuk semua kampung pedalaman dan kau akan rasakan kehidupan orang kampung. Baru kau tahu.

"Bukan juga kau mau tahu surat menyurat, mesej dari orang yang tidak tepat. Kau YB, tanggungjawab mu itu terlalu besar.

"Bukan untuk menang dalam undian sahaja, sudah menang kau pilih yang kau suka saja," memetik luahan hati di Facebook milik Mekvin.

Terkini, Pengerusi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Masidi Manjun, pula mengesahkan Veveonah tidak menipu dan sememangnya mengambil peperiksaan akhir secara dalam talian.

Beliau sendiri telah berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Asasi Sains UMS untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara itu.

BACA: 'Veveonah tidak menipu, dia memang ambil peperiksaan dalam talian' - Masidi