KUALA LUMPUR:Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran dua video tular di media sosial yang memfitnah  beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya Azlina Md Rosy @ Rozzy di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada kira-kira 12 tengah hari.

Azlina berkata implikasi penyebaran video-video berkenaan boleh menimbulkan kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada Ismail Sabri.

Beliau berkata penyebaran video berkenaan ternyata berniat jahat kerana dikatakan berlaku sewaktu PKP.

“Video pertama yang tular adalah semasa sidang media harian berkaitan COVID-19 bertarikh 14 April 2020 yang kononnya diambil daripada sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat dengan mengatakan tiada lagi saman serta kompuan akan dikenakan jika melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

“Video berkenaan adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Azlina berkata video kedua pula bertajuk ‘Sendiri Buat SOP Sendiri Langgar’ adalah rakaman bahawa Ismail Sabri hadir pada satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 Sept 2020.

Beliau berkata video itu disebarkan kononnya majlis itu adalah pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, sedangkan majlis itu diadakan ketika PKP Pemulihan.

“Dalam pelaksanaan PKP Pemulihan, majlis perkahwinan juga dibenarkan temasuklah majlis-majlis lain, tiada pelanggaran SOP yang berlaku dan tujuan membuat laporan polis terhadap kedua-dua video ini adalah bagi menghentikan penularan fitnah terhadap Ismail Sabri,” katanya.

Azlina berkata pihaknya mengenal pasti dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika diihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis itu.

-- BERNAMA