Video intim: Tommy patut ikut saluran perundangan - Ahmad Zahid

Wan Syamsul Amly
Januari 9, 2020 08:42 MYT
AHMAD ZAHID: Seseorang penjawat awam terutamanya yang memegang jawatan-jawatan, yang mengetuai jabatan yang sensitif dan strategik harus melakukan keadilan sepenuhnya. = Gambar fail
Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas harus mengikuti saluran perundangan dan bukan menggunakan kaedah-kaedah lain terutamanya apabila sesuatu kes berkaitan dengan personaliti politik.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pendakwaan atau sebarang tindakan perundangan hanya boleh dibuat setelah siasatan secara perundangan dilakukan.
"Pada hemat saya, seseorang penjawat awam terutamanya yang memegang jawatan-jawatan, yang mengetuai jabatan yang sensitif dan strategik harus melakukan keadilan sepenuhnya.
"Bukan hanya mengikut perundangan tetapi juga mengikut tataetika yang ada sama ada dalam Perlembagaan atau akta-akta tertentu yang akan digunapakai bagi pendakwaan," katanya semasa dihubungi di sini, pada Khamis.
BACA: Video intim: Tiada individu akan didakwa - Peguam Negara
BACA: Video Intim: 'Saya tidak tahu apa-apa' - IGP
Terdahulu, Tommy memberitahu pihaknya tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang dipercayai yang pernah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet seperti yang tular beberapa bulan lalu.
Tommy juga menjelaskan, pihaknya mendapati tiada pertuduhan yang boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.
Bagaimanapun tegasnya, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru
diperolehi.
Tommy berkata, siasatan kes itu telah dijalankan dibawah seksyen-seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan berikutan daripada beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa individu yang berbeza mengenai video seks.
"Ramai saksi telah ditemubual oleh PDRM untuk memastikan fakta berhubung dengan video dan terdapat tangkapan dan reman beberapa saksi berkaitan dengan penyiasatan," ujarnya.
#Barisan Nasional #IGP #kabinet #PDRM #Peguam Negara #penjawat awam #polis #seks #seks intim #siasatan #video #video imtim Azmin Ali #Zahid Hamidi