Skip to main content

Malaysia

Video kait KP AKPS, akaun TikTok @Haily Only Official palsu

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memberi penerangan pada sidang media selepas menerima taklimat mengenai insiden tembakan terhadap kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, yang berlaku awal pagi tadi, di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
AKPS menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati menggunakan nama, imej dan identiti Ketua Pengarah AKPS pada akaun media sosial yang tidak sah. - Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan video tular dikaitkan dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan akaun TikTok @Haily Only Official adalah palsu.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, video itu dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake sekali gus mengelirukan orang ramai sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah ia kenyataan rasmi Mohd Shuhaily.

Advertisement

“AKPS turut mengesan terdapat beberapa akaun media sosial yang tidak dimiliki atau diiktiraf oleh Ketua Pengarah AKPS namun menggunakan nama, wajah dan video beliau bagi tujuan meraih publisiti serta keuntungan peribadi,” menurut kenyataan itu.

AKPS menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati menggunakan nama, imej dan identiti Ketua Pengarah AKPS pada akaun media sosial yang tidak sah.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang kompromi,” menurut kenyataan itu.

AKPS menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan kandungan palsu dan sentiasa merujuk saluran rasmi agensi itu untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

Must Watch Video