Video pelajar dipukul warden di Sungai Buloh disahkan benar

Bernama
Mei 9, 2016 15:49 MYT
Pihak polis sedang menyiasat kes berkenaan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu. - Foto: Paparan layar skrin vide
Polis mengesahkan rakaman sebuah video pelajar sekolah yang dipukul oleh seorang warden di sebuah Sekolah Vokasional di Sungai Buloh yang tersebar menjadi viral di media sosial pada Ahad adalah benar.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
"Polis menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 10.25 pagi semalam," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Abd Rahim berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lepas di asrama Kolej Vokasional Sungai Buloh dan video kejadian yang dirakam mula tersebar di laman media sosial petang semalam.
Beliau berkata polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Semalam, video berdurasi seminit 10 saat yang merakamkan seorang pelajar sekolah dipukul oleh seorang warden tersebar di laman media sosial.
#Abd Rahim Jaafar #Timbalan Ketua Polis Selangor #video pelajar sekolah #viral