10 pelajar yang terlibat dalam kes buli rakan sekelas yang video mereka tular di media sosial di sebuah agama di Pasir Puteh, Kelantan pada Khamis lalu sudah ditahan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata, kesemua suspek yang berusia 15 tahun itu ditahan di sekolah pada jam 11 pagi selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Mangsa yang dipercayai menjadi mangsa buli rakan sekelasnya untuk menyiapkan kerja sekolah mereka dikatakan tidak tahan kerana sering menjadi mangsa buli.

“Apabila berlaku kes-kes melibatkan jenayah kita siasat. Kita boleh dengar pihak sekolah. Undang-undang ada, dah viral benda ini di Pasir Puteh. Kita tangkap semua mereka yang terlibat, kita tangkap bawa balik balai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut bersama guru sekolah untuk direkodkan keterangan dan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) sudah pun dilaksanakan.


Katanya kesemua pelajar yang ditahan itu disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Sementara itu, pihak polis juga akan mengambil tindakan susulan ke atas pelajar lelaki yang merosakkan kerusi di sekolah agama di Kota Bharu sehingga video perbuatan itu tular di media sosial pagi semalam.

Video berdurasi 13 saat tular di laman sosial Facebook memaparkan beberapa pelajar membaling dan menyepak beberapa kerusi plastik di dalam kelas selepas sesi terakhir sekolah pada Khamis.

Katanya kes ini disiasat mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam.

Beliau berkata, kes yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini disifatkan agak ganas.

Mengulas lanjut, setakat ini kes membabitkan pergaduhan di sekolah adalah sebanyak 15 kes dengan 36 tangkapan yang dibuat.