JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berhubung video tular seorang kanak-kanak yang meluru ke jalan raya dan menahan kenderaan dipercayai berlaku di Pasir Gudang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata video berdurasi 27 saat yang dirakam menggunakan kamera perakam video sebuah kenderaan itu, tular di laman Facebook sebuah portal berita hari ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku semalam pada 5.46 petang di Jalan Bandar, Pasir Gudang berhampiran Taman Tasik Layang-Layang, di sini.

"Bagaimanapun, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut dan berdasarkan video tersebut tiada sebarang kemalangan direkodkan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Terdahulu, video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti kanak-kanak lelaki secara tiba-tiba meluru ke lorong kanan jalan lalu menahan kenderaan dan kemudiannya terus beredar.

-- BERNAMA