MALAYSIA
Video tular Mohd Shuhaily 'deepfake', berniat jahat - AKPS

AKPS menyifatkan penyebaran video itu sebagai cubaan jahat untuk mencemarkan reputasi dan mengelirukan orang ramai.
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) hari ini menafikan penularan sebuah video melalui TikTok yang mengaitkan Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menafikan video tular di TikTok yang mengaitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dan mengesahkan ia adalah video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi "deepfake".
- AKPS menyifatkan penyebaran video itu sebagai cubaan jahat untuk mencemarkan reputasi dan mengelirukan orang ramai, serta mengingatkan bahawa menyebarkan kandungan palsu adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Agensi itu menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyebaran video palsu tersebut.
"Penghasilan dan penyebaran video itu adalah cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi dan menjejaskan integriti Ketua Pengarah AKPS dengan tujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai," menurut AKPS dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AKPS menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan serta tidak menyebarkan video terbabit kerana satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Walaupun kemajuan teknologi AI amat dialu-alukan, penggunaannya secara tidak beretika untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.
"AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu itu," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami