KOTA BHARU: Peniaga Pasar Siti Khadijah di bandar ini kecewa kerana ada pihak menularkan pasar itu yang memberi gambaran suasana tidak benar kepada orang ramai khususnya pelancong.

Mereka mendakwa, setiap hari pasar itu meriah dengan kehadiran pelancong domestik yang mahu menikmati makanan dan membeli barangan terutama pada musim cuti perayaan serta persekolahan.

Rospauzilaismawati Ismail, 38, mendakwa dia terkejut melihat video yang memaparkan wajahnya serta beberapa peniaga lain ditularkan individu tidak bertanggungjawab sedangkan peniaga di situ hanya berseloroh.

"Video itu diambil tahun lepas ketika orang ramai mula pergi ke Hatyai, Thailand dan saya fikir ia mungkin bermotifkan politik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini tular satu video yang diambil oleh seorang lelaki yang mendakwa Pasar Siti Khadijah kekurangan pelanggan kerana ramai yang sudah beralih arah ke Hatyai.

Lelaki itu turut mendakwa peniaga sedih dan termenung kerana kekurangan pelanggan dan ribuan pelancong beralih arah ke wilayah di Thailand itu.

Rospauzilaismawati memberitahu, video itu diambil oleh seorang individu pada Ogos tahun lalu kira-kira jam 4 petang ketika ramai peniaga kuih-muih sudah pulang selepas barang jualan habis dijual.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan ia dimuat naik di media sosial oleh individu lain pada Tahun Baharu Cina lalu sedangkan pada hari sama ramai pelanggan di sini.

"Suasana sunyi yang didakwa individu dalam video itu ialah kerana ramai peniaga sudah pulang, namun kami masih meneruskan perniagaan kerana menjual barangan kering," ujarnya.

Tambah peniaga itu lagi, peniaga kuih biasanya pulang sebelum jam 4 petang kerana kuih jualan mereka habis antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

Rakannya, Mokhtar Hashim, 44, pula memberitahu, tiada sebarang isu sejak dia berniaga di pasar itu 15 tahun lalu.
Mokhtar melayan pelanggan yang membeli makanan kering di gerainya di Pasar Siti Khadijah

"Saya tidak menyangka, ada yang datang ke sini dan membandingkan Hatyai sedangkan ia tidak menggambarkan suasana sebenar," katanya.

Mokhtar turut menjawab pertanyaan rakan-rakan selepas gambarnya tular dan suaranya berseloroh dalam video tular itu.

Sementara itu, peniaga kuih, Izan Ariffin, 54, gembira berniaga pada musim perayaan atau cuti persekolahan berikutan ramai pelancong dari Kelantan datang membeli kuih-muih.

Katanya, pelanggan mula memenuhi ruang pasar itu pada jam 9 pagi dan kuih-muih yang dijual seperti ketupat, pulut dan tapai juga laris.

Dia yang tinggal di Kampung Pantai Cahaya Bulan mula membuka gerai bersama anaknya pada jam 7 pagi dan akan pulang sebelum jam 5 petang.

Penjual aiskrim, Muhd Amirul Mukmin Abd Halim, 19, yang membantu abang iparnya berniaga aiskrim setiap Jumaat dan Sabtu juga memberitahum biasanya airkrim yang dijual habis setiap kali cuti hujung minggu.

Katanya, sebanyak 25 kilogram aiskrim yang dijual kerap habis bergantung pada jumlah pelanggan.

"Saya hanya berniaga menggunakan motosikal roda tiga setiap Jumaat dan Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 6 petang kerana masih belajar tetapi syukur ada masanya aiskrim habis dijual," katanya. -Sinar Harian