IPOH: Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menyerang dan meragut rantai emas seorang peniaga dengan bersenjatakan parang di Kampung Baru Buntong, di sini, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu jam 4.13 pagi.

Katanya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun itu mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.

"Kejadian berlaku pada 22 Mei, Rabu kira-kira jam 2.55 pagi.

"Suspek menggunakan kereta jenis Nissan Almera berwarna putih dengan bersenjatakan parang telah mengejar mangsa dan menarik rantai leher emas yang dipakai.

"Siasatan polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek lelaki itu memakai topi dan pelitup muka warna hitam.

"Polis telah menjumpai kereta digunakan oleh suspek yang ditinggalkan di sebuah lorong di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan media malam tadi.



Sehubungan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun, serta denda atau sebat.

Abang Zainal Abidin berkata, polis juga sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Josin Amatin 016-2222491 atau balai polis berhampiran.



Terdahulu, pada Jumaat, tular video berhubung kejadian itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun di Facebook dengan nama 'FTopNews'.

Video itu memaparkan kejadian seorang lelaki diserang suspek yang menaiki kereta warna putih dengan bersenjatakan parang di hadapan rumahnya.