MALAYSIA
Video tular: Polis kesan tiga suspek kes samun guna parang
Polis sedang mengesan tiga suspek yang terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan dan khianat terhadap kenderaan, seperti yang tular di media sosial.
TELUK INTAN: Polis sedang mengesan tiga suspek yang terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan dan khianat terhadap kenderaan, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin berkata, hasil siasatan awal, pihak polis berjaya mengenal pasti seorang suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 37 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, suspek itu juga telah dimasukkan ke dalam senarai orang yang dikehendaki.
“Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Perak telah melawat tempat kejadian dan menemui beberapa bahan bukti termasuk kesan darah, dua cap jari dan serpihan kaca.
“Rakaman CCTV juga telah diperoleh dari lojasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, Bakri berkata, pihaknya terkesan satu video tukar berdurai 30 saat yang memaparkan tiga lelaki bertopeng keluar dari sebuah kereta sambil memegang dan menghayun senjata parang, dipercayai ke arah orang yang berada di kawasan tersebut.
Menurutnya, kira-kira jam 1.02 pagi, 15 Jun lalu, Balai Polis Hilir Perak telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah premis hiburan di Jalan Changkat Jong, di sini.
“Pengadu memaklumkan tiga suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, menaiki sebuah kenderaan jenis Honda (nombor pendaftaran telah ditanggalkan) telah menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan,” ujarnya.
Katanya, suspek telah bertindak memecahkan barangan dalam premis dan mengambil sebuah telefon bimbit milik pekerja serta wang tunai RM2,000 dari kaunter
Selain itu, tambahnya, suspek turut memecahkan cermin empat buah kenderaan milik pelanggan dan mencederaan dua pelanggan menggunakan parang di dalam dan luar premis berkenaan.
Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat terhadap harta benda awam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Hilir Perak atau mana-mana balai polis berhampiran.