IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri tiang besi di tepi jalan selepas rakaman video perbuatannya itu tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah bangunan kosong di Manjoi, dekat sini, kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu di Balai Polis Jelapang pada 9.16 malam tadi.

Katanya, lelaki tersebut ditahan bersama-sama barang yang curi dan siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu di sekitar Manjoi dan Jelapang.

“Semakan lanjut pihak polis mendapati suspek ini memiliki 11 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan jenayah narkotik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yahaya berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Morphine.

Menurutnya, suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan

Rakaman dua video yang tular memaparkan seorang lelaki mencuri tiang besi di tepi jalan walaupun ditegur orang awam.