KUALA LUMPUR: Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad mengemukakan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saman itu berhubung kenyataan Sanusi mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapannya pada ceramah sempena kempen pilihan raya 'Jelajah Mega PN Best' atau 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour' di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Vincent Tan dan Berjaya Land memfailkan saman fitnah berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis melalui firma guaman Tetuan Pierre Chuah & Associates dan kes berkenaan ditetapkan bagi pengurusan kes pada 4 September ini.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan dan Berjaya Land mendakwa ucapan Muhammad Sanusi yang disiarkan secara langsung dan diterbitkan semula antaranya menerusi laman Youtube di bawah nama akaun Astro Awani, laman Facebook di bawah nama akaun TV PAS dan di laman YouTube di bawah nama akaun KiniTV.

Vincent Tan berkata, Muhammad Sanusi yang dinamakan sebagai defendan membuat rujukan yang spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di dalam ceramah itu.

Dalam pada itu, Berjaya Land pula menjelaskan, walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Menurut Vincent Tan, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif, ia juga bermaksud mereka menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif mendakwa, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent Tan An Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

"Ia juga mampu merosakkan reputasi kami dalam dunia perniagaan sama ada di dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan kehilangan keuntungan jutaan ringgit," kata mereka.

"Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).

"LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bagi lot tanah itu tetapi juga mencari dana untuk membayar premium kepada Kerajaan Negeri Selangor," kata plaintif.

Sehubungan itu Vincent dan Berjaya Land menuntut daripada Muhammad Sanusi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu.